Bekas pemain bola baling negara, Kamiley Ngah, menerima ujian berat apabila disahkan mengidap kanser usus tahap empat.

Lebih parah apabila doktor terpaksa membuang usus dan pundi kencingnya hingga membataskan pergerakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2007 itu.

"Bulan Jun tahun lalu, saya mengalami gejala buasir, ia merupakan salah satu petanda barah.

"Apabila bertambah parah, saya menjalani ujian imbasan dan akhirnya disahkan menghidap kanser," katanya ketika dikunjungi wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, di kediaman keluarganya di Gombak, Selangor.




Menurutnya lagi: "Selepas pembedahan dan menghadiri 12 sesi terapi, tiba-tiba melalui imbasan selanjutnya, sel barah itu didapati bermutasi dan sudah merebak ke bahagian lain seperti paru-paru dan tulang.

"Doktor terpaksa buang usus dan pundi kecing . Saya perlu pakai beg khas untuk kedua-dua fungsi itu dan ini kekal seumur hidup.

"Rindu nak beraksi. Saya tidak fikir untuk bersara.

"Walaupun 43 tahun saya tetap bermain bersama orang muda, saya mahu tunjukkan melalui teladan."