Gary Lineker dan Gary Neville mengetuai keraian peminat bola sepak England dengan tersebarnya berita bahawa Liga Super Eropah (ESL) yang diuar-uarkan pengwujudannya, sudah pun tertiarap.

Hanya 48 jam selepas liga pesaing bernilai £4.6 bilion (RM26.4 bilion) itu diumumkan, Chelsea, Manchester City, Barcelona dan Atletico Madrid – empat daripada 12 pasukan pengasas ESL – dilaporkan sedia menarik diri gara-gara tindak balas keterlaluan dunia bola sepak.

Malah, berita bahawa Liga Super itu yang menjadi buah mulut sejak ia digembar-gemburkan Ahad lalu semakin hampir gagal, disambut dengan gegak-gempita melalui Twitter, dengan peminat meraikan jangka hayat singkatnya.

Neville, yang amat lantang menentang pengwujudan liga pesaing itu, menitipkan satu emoji tangan yang sedang melambai sebagai ucapan selamat jalan kepada liga yang belum sempat bermula itu.

Lineker pula mengungkapkan bahawa peminat sudah mendapat semula bola mereka sambil pertahanan Benfica dan bekas bintang Tottenham, Jan Vertonghen, turut tidak ketinggalan meluahkan isi hatinya melalui Twitter.

Peminat selebihnya pula mengambil kesempatan untuk mengherdik kelab-kelab yang terlibat, dengan mengumpamakan seluruh episod malang itu dengan siri ‘Apprentice’ yang popular menerusi saluran BBC.

Sesetengah yang lain menyifatkan leburnya impian ESL itu sebagai antara pengalaman paling menyeronokkan melalui Twitter yang pernah mereka lalui.

Kelab LaLiga, Sevilla, yang tidak terlibat dengan projek ESL itu, menyindir pasukan-pasukan pengasasnya dengan memuat naik meme seekor anjing dalam sebuah rumah yang sedang terbakar sambil berpura-pura bahawa semuanya baik-baik saja.

Skim bernilai £4.6 bilion itu yang dilabel “tamak” oleh pengkritik, sebelumnya mengancam untuk mengubah landskap bola sepak secara abadi, dengan pasukan-pasukan elit Eropah mewujudkan liga inklusif yang menjanjikan kekayaan di sebalik kemarahan peminat.

Namun, sejurus tersebar berita Chelsea dan City sedang berkira-kira untuk menarik diri, Manchester United pula mendedahkan ketua eksekutifnya, Ed Woodward, telah meletak jawatan untuk meredakan kemarahan peminat.

Woodward difahamkan bercadang melepaskan jawatan pada hujung tahun tapi pengumumannya telah dipercepatkan.

Mengulas berita itu sebelum sepak mula pasukannya menentang Chelsea di Stamford Bridge, awal hari ini, pengurus Brighton, Graham Potter, memberitahu Sky Sports: “Kami sangat gembira.

“Kami berasakan ia berdiri menentang segala-gala yang kita tahu sebagai bola sepak. Adalah salah untuk mencipta sesuatu di mana tiada ancaman relegasi dan anda mahukan peluang bersaing untuk beraksi di Eropah.

“Ada kalanya seorang peminat boleh diandaikan sebagai seorang konsumer dan kita dalam bahaya jika itulah keadaannya.”

Penyokong Chelsea telah berhimpun di perkarangan Stamford Bridge pada malam Selasa sebelum pertemuan dengan Brighton untuk memprotes pengwujudan liga pesaing yang baru itu.



Mereka merentangkan kain pemidang yang mengkritik kelab itu di atas keputusannya menyertai ESL di samping menuntut pemilik kelab, Roman Abramovich, untuk mengambil langkah yang betul.

Potter menyimpulkan: “Pujian buat peminat kerana menegakkan kes mereka. Apapun, peminatlah yang terpenting.”