Gagal mencipta kemenangan ketika berdepan Myanmar dan Filipina dalam acara bola sepak bukanlah sesuatu yang dijangka oleh peminat tanah air. Malah, Dayang percaya Datuk Ong Kim Swee dan anak buahnya juga sea-akan tidak percaya dengan keputusan itu.

Ia kerana harapan yang diletakkan kepada skuad B-23 negara amatlah tinggi berdasarkan kualiti yang dimiliki setiap pemain. Tujuh pemain daripada keseluruhan skuad sudah pun beraksi bersama kem senior dan ini menambahkan lagi tekanan dan harapan buat Harimau Muda ini.

Dalam pertemuan berdepan Myanmar, memang ketara dan jelas kepincangan serta ketidakserasian antara pemain sehingga gagal mencipta gerakan yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan pihak lawan.

Berdepan tuan rumah, Filipina, Dayang melihat ia sebagai satu perlawanan yang agak membosankan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang sehinggalah kesilapan pemain Malaysia sendiri yang menghadiahkan gol kemenangan buat lawan.

Sejujurnya, Dayang percaya suasana dalam kem bola sepak negara tentunya suram dengan dua keputusan yang tidak dijangka. Ketua pasukan, Adam Nor Azlin, juga dilihat sugul ketika ditemuramah pihak media dan ianya jelas mendapat simpati peminat bola sepak tanah air.

Sementara itu, episod duka turut diterima skuad bola sepak wanita negara apabila dibelasah Filipina 5-0.

Kini, hanya kemenangan dengan jaringan yang besar sahaja mampu menyelamatkan maruah skuad negara daripada pulang awal. Tatkala Kim Swee dilihat akan mengekalkan formasi 3-4-3 seperti dua perlawanan terdahulu, Dayang percaya Malaysia wajib menerapkan corak permainan menyerang memandangkan perbezaan jaringan akan memainkan peranan untuk layak ke peringkat kalah mati.

Dayang masih menaruh harapan terhadap kontinjen bola sepak negara dengan syarat, moral sepasukan perlu berada di tahap yang baik agar Harimau Muda mampu bangkit dalam perlawanan berdepan Timor Leste dan Kemboja. Lipakan kekalahan yang terdahulu dan bangkit semula!