“Dah beberapa hari kecoh dalam akhbar pasal pasukan Selangor tak ada duit, minggu lepas dah keluar tv, hari ini jadi tajuk utama berita pulak nak minta duit.

“Apa nak jadi diorang ni, tak tahu malu ke ?” rungut penulis di dalam hati sewaktu menikmati makan malam sambil menonton televisyen.

Sebagai seorang peminat tegar bola sepak Selangor, penulis sempat merasai zaman kegemilangan Merah Kuning yang kaya dengan 'artifak' kejayaan, antaranya juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali selain melahirkan ramai legenda bola sepak tanah air.

Penulis juga masih mengingati zaman 'renaissance' Selangor apabila dilanda isu seperti rasuah, isu boikot di kalangan pemain selain kemerosotan prestasi sehingga terjerumus ke Liga

Perdana. Namun, itu semua adalah halangan-halangan biasa sebagai sebuah kelab bola sepak profesional.

Akan tetapi situasi kini jauh lebih teruk, pihak pengurusan masa kini seolah-olah tidak tahu menghargai pengorbanan orang lama.

Tidak mahu berusaha keras menambah baik, malah membuat ancaman pula mahu menarik diri.

Inikah kesinambungan daripada pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)?

Jangan samakan Selangor dengan Kelantan. Dari segi sejarah saja sudah jauh berbeza. Jadi, jangan guna taktik murahan menagih simpati mahu menarik diri jika pihak pengurusan sendiri yang pemalas.

Perkataan “pemalas” yang diguna pakai bukan main hentam keromo sahaja tapi lihatlah keadaan semasa di mana pucuk pimpinan FAS, yang juga berjawatan di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saban tahun menggunakan formula sama -- minta bajet daripada kerajaan negeri, guna sampai habis, tahun depan minta lagi.

Ulang formula sama bertahun- tahun.

Namun kali ini, apabila 'digertak' sedikit oleh kerajaan negeri, mereka bukan mahu mencari dana sendiri, namun mengambil keputusan mahu menarik diri.

Fikir logiklah, dengan keuntungan dan rizab kerajaan negeri yang berbilion-bilion, setakat RM20 juta dicampak kepada FAS bukanlah satu masalah besar.

Namun, kerajaan negeri tetap berkeras dengan pendirian tidak mahu menyuntik dana. Bukan secara sengaja, namun dengan sebab yang kuat.

Takkanlah Red Giants yang merupakan gergasi bola sepak tanah air tak mampu menjana wang hasil daripada penajaan. Mustahil!

Jika dalam saingan profesional, kita boleh lihat pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) selain mempunyai kewangan persendirian yang kukuh, pengurusan mereka turut dibantu banyak tajaan syarikat-syarikat korporat.

Melaka United yang baru bangkit dari lena yang panjang turut mampu berbelanja besar musim ini kerana pengurusan buat kerja dengan adanya kolaborasi dengan syarikat swasta yang mampu menyuntik dana.

Pihak pengurusan AirAsia FC yang sememangnya mempunyai kewangan kukuh, turut mengambil langkah penjenamaan semula kepada Petaling Jaya Rangers FC demi mendapatkan habuan dari segi penjualan tiket di masa akan datang kerana ia mampu menarik warga kota memberikan sokongan kepada mereka.

Jika itu tidak cukup lagi, lihat Shah Alam Antlers, pasukan kerdil yang hanya beraksi dalam liga kecil, tetapi pihak pengurusan mereka amat berjiwa besar.

Mereka mampu bekerjasama dengan syarikat swasta untuk memberikan penajaan, selain susunan pemasaran yang terancang bagi mencuri perhatian peminat bola sepak.

Kalau semua pasukan di atas mampu, kenapa tidak Selangor?

Sekarang situasinya terbalik, individu-individu dan pemain-pemain yang 'buat kerja' pergi satu persatu meninggalkan pasukan Selangor, yang masih kekal hanyalah mereka yang malas dan terus memainkan sentimen meraih simpati di kaca tv dan dada-dada akhbar.

Jika terdahulu ada segelintir bekas pemain yang merayu agar kerajaan negeri membantu FAS, namun hakikatnya lebih ramai bekas pemain dan juga peminat yang mahukan pucuk pimpinan yang pemalas keluar dari FAS.

Kepada pucuk pimpinan FAS, jangan jadi seperti ‘katak di bawah tempurung’.