"Menang itu ajaib, seri itu biasa, kalah itu tak payah kata", bunyi menarik tapi yang lebih menarik perhatian penulis gelaran itu diberikan kepada skuad Harimau Malaysia oleh segelintir penyokong bola sepak tanahair.

Ia gara-gara skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sekadar melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan keputusan seri 1-1 menentang Fiji pada Ahad, selepas mencatat kekalahan dan kemenangan dalam dua aksi terdahulu.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, skuad negara sering jadi mangsa sindirian dan bahan ketawa oleh mereka yang mendakwa kritikan itu demi bola sepak tanahair.

Hakikatnya, kritikan yang dilemparkan itu lebih bersifat menghentam sehingga boleh menjatuhkan moral pemain-pemain yang sudah cuba melakukan terbaik untuk negara.

Tidak salah mengkritik tetapi biarlah ia kritikan membina dan jadilah penyokong berpengetahuan.

Malaysia tewas 0-2 kepada Papua New Guinea (PNG) pada aksi persahabatan antarabangsa A, bukan seperti PNG dahulu yang pernah kita jinakkan sebelum ini.

PNG yang kita kalah tempoh hari merupakan finalis Piala Negara-Negara Oceania 2016, pasukan itu tunduk melalui sepakan penalti kepada juara bertahan New Zealand yang kali terakhir beraksi di pentas Piala Dunia pada 2010.

Selepas dianggap nasib menewaskan New Caledonia 2-1, seri 1-1 berdepan Fiji pula masih dipandang enteng sedangkan pasukan berkenaan memiliki beberapa pemain berkualiti terutama Roy Krishna yang beraksi di A-League.

Tidak tahu mana silapnya, stigma mereka ini cukup negatif jika skuad negara jadi topik bualan.

Penulis berpandangan jangan terlalu mudah menjatuh hukum kerana Kim Swee mempunyai misi-misi yang wajib dilunaskan juga menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dirinya sejak dilantik selaku ketua jurulatih negara Januari lalu.

Ranking memang penting, namun tiada guna jika kita menang sekarang tetapi gagal layak ke Piala Asia 2019 mahupun cemerlang pada kejohanan Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

Memandangkan 'demand' ini semakin tinggi, pemain-pemain negara perlu bekerja lebih keras kerana ia menjadi tuntutan anda sebagai pemain.

Apa pun, bersempena tema kempen Ramadan dan Syawal Astro tahun ini iaitu 'Berikan Masa', skuad negara juga nampaknya perlu diberikan masa untuk menghadapi misi-misi penting itu nanti.