Jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri, mahu pelumba negara, Fadhil Zonis, kekal menumpukan kepada acara 1km ujian masa walaupun terdapat saranan untuk pelumba berkenaan beralih kepada acara keirin.

Ia kerana Fadhil akan berdepan tiga tugas penting bermula dengan Kejohanan Berbasikal Trek Dunia pada Ogos depan selain Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

"Acara kegemarannya memang 1km dan sewaktu kejohanan dunia edisi lalu, dia juga berada dalam kelompok lapan pelumba terbaik," katanya kepada Astro Arena.

"Jadi, buat masa ini, sasaran terdekatnya dalam acara 1km adalah Kejohanan Dunia pada Oktober depan, Sukan Komanwel memang kita tahu ada acara 1km dan Sukan Asia juga mungkin ada acara itu.

"Sasarannya setakat ini adalah tiga kejohanan besar berkenaan dalam acara 1km.

"Acara 1km juga merupakan latihan terbaik bagi peralihannya kepada acara keirin, di mana ia lebih kurang sama dan berkaitan," katanya.

Bekas pelumba negara, Josiah Ng, mencadangkan agar Fadhil memberikan tumpuan kepada acara keirin kerana melihat pelumba itu mempunyai potensi besar selepas meraih pingat emas acara berkenaan dalam Piala Negara-Negara di Hong Kong, minggu lalu.

Sebagai rekod, Fadhil ketika ini menghuni ranking pertama dunia dalam acara 1km ujian masa susulan meraih pingat perak dalam kejohanan sama.