Musim ini penulis sudah beberapa kali menyaksikan skuad Kedah kendalian Ramon Marcote beraksi dan secara jujurnya, penulis berasa Lang Merah tidak seampuh musim lalu.

Tidak pasti sama ada pendekatan taktikal, awang import baru atau faktor lain, yang pasti Kedah kini bergelut untuk menjelmakan aksi seperti musim lalu.

Mungkin ramai peminat Kedah tidak akan bersetuju dengan penulis, tetapi penulis sebenarnya sangsi dengan pemilihan Marcote selaku pengendali Kedah.

Penulis berkata demikian kerana apakah kejayaan Marcote sebagai seorang jurulatih di negara asalnya Sepanyol, sebelum ke Kedah?

Latar belakangnya banyak berkisar dengan tugas hanya selaku jurulatih kecergasan walaupun dia mempunyai sijil kelayakan yang diperlukan seorang jurulatih import untuk melatih pasukan Liga Malaysia.

Di sini penulis bersetuju dengan pandangan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, yang sebelum ini menyarankan setiap pengurusan pasukan jika mengambil jurulatih import, ambil mereka yang juga mempunyai pengalaman dan rekod kejayaan.

Jika sekadar mengambil jurulatih import muda yang baru mahu meraih pengalaman melatih pasukan di Malaysia, ia mungkin tidak memberi pulangan yang diharapkan.

Pada pengamatan penulis juga, mungkin seorang pengendali tempatan lebih sesuai di Kedah, mungkin juga Nidzam Adzha Yusof wajar terus diberikan peluang musim ini.

Apa pun, saingan musim ini masih awal dan mungkin Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) boleh memberikan peluang kepada Marcote sehingga aksi pusingan ke-11 liga.

Jika prestasi masih terumbang-ambing selepas aksi ke-11 liga, KFA perlu memikirkan pendekatan terbaik untuk menyelamatkan Kedah musim ini.

Lagi pun dalam kalangan lima pasukan teratas Liga Super setakat ini, hanya Johor Darul Takzim (JDT) dikendalikan jurulatih import.

Ia memberi gambaran awal, kemungkinan saingan musim ini bakal menyaksikan seorang jurulatih tempatan mampu meraih satu kejuaraan.

Jika bukan Liga Super sekali pun, mungkin Liga Perdana, Piala FA atau Piala Malaysia mampu dijuarai seorang jurulatih tempatan.