Tahniah pasukan bola jaring negara yang pamer aksi meyakinkan menerusi kemenangan selesa 73-30 ke atas Thailand.

Jelas ia motivasi terbaik yang dijelmakan barisan 2001 yang sempat berkongsi pengalaman mereka menghadiahkan pingat emas buat negara pada edisi terakhir di Kuala Lumpur lalu.

Langkah kanan pada aksi pembukaan sememangnya mampu suntik semangat, apatah lagi berdepan lawan yang dilabel biasa, Brunei, selepas ini yang nyata longlai di tangan Singapura 62-37.

Namun Brunei bukanlah tajuk utama bagi penulisan ini, sebaliknya gambaran sebenar perjalanan pasukan negara sekali lagi bakal bertitik tolak daripada aksi yang ditampilkan Singapura selepas ini.

Menampilkan barisan yang rata-ratanya muka baru berbanding edisi ke-28 di laman sendiri, Singapura dilihat langsung tidak kekok memulakan saingan di temasya dwitahunan ini.

Begitupun, Vanessa Lee yang baru setahun jagung dilantik selaku kapten pasukan singa tetap merendah diri dan lebih selesa dilabel "underdog" realitinya sekadar strategi apabila mereka dilihat hampir tiada cela dalam melakukan lontaran.

Di kawasan D pula, Charmaine Soh menjadi nadi kekuatan Singapura yang boleh dirumuskan, 99 peratus gol akan dicetak setiap kali bola sampai ke tangan pemain yang memiliki ketinggian 177cm ini.

Tapi apa kurangnya skuad negara kita, gandingan An Najwa Azizan dan Izyan Syazana Mohd Wazir masih mampu curi tumpuan seperti mana mereka memukau setiap lawan di gelanggang jiran dua tahun lalu.

Perlu diingat Malaysia juga mempunyai pemain dengan kepantasan luar biasa, Pow Mei Foong, yang mampu membuat lawan ternganga. Cuma strategi bijak perlu direncana jurulatih, Tracey Robinson dalam meniti laluan ke final.

Jika jodoh sekali lagi menemukan Malaysia dan Singapura, pasti buku bertemu ruas kerana ada dendam yang perlu dilunas. Mungkin kebolehan Malaysia lebih kepada menyaingi dan bukan mempertahan. Apa pun tiket acara bola jaring sudah habis dijual.

Tunggu sahaja kilauan emas dari Stadium Juara, Bukit Kiara 20 Ogos ini.

Ayuh Malaysiaku!