Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage, berdepan cabaran getir untuk menarik minat lebih banyak pasukan jelajah dan profesional dunia bagi memastikan taraf penganjuran saingan itu kekal berprestij dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizreen Hamid, mengesahkan dua pasukan jelajah dunia dari Eropah sudah menyatakan hasrat berminat untuk beraksi dalam LTdL 2021, namun masih belum sedia untuk mengumumkan nama pasukan berkenaan.

Bagi edisi ke-25 yang melabuhkan tirai Jumaat lalu, hanya satu pasukan jelajah dunia memberikan reaksi menyertai saingan, NTT Pro Cycling.

Sebagai saingan yang diangkat menjadi siri profesional dalam kalendar jelajah UCI, Shahaizreen sedar mereka perlu menepati kriteria membawa masuk pasukan bertaraf jelajah dunia, profesional serta benua bagi mengelak penurunan taraf perlumbaan menjadi 2.1.

"Setakat ini, mereka menyambut baik saingan tahun ini. Saya juga difahamkan kami telah mendapatkan kata putus daripada dua pasukan untuk tahun depan. Kami menerima permintaan daripada mereka," katanya.

Bagi mengelakkan percanggahan tarikh dengan saingan perlumbaan basikal yang lain, mereka juga akan segera melobi pasukan berkenaan untuk mengesahkan penyertaan dalam LTdL ke-26 serta memohon tarikh penganjuran lebih awal daripada UCI.

Sebelum ini, Human Voyage mendakwa pertindihan jadual dengan perlumbaan lain seperti saingan Cadel Evans di Australia dan Jelajah UAE di Abu Dhabi menjadi punca gagal mendapatkan lebih banyak pasukan jelajah dunia menyertai LTdL.

"Kalau boleh, kami akan menjemput lebih banyak pasukan jelajah dunia bagi saingan tahun depan. Diharapkan, kami akan menerima penyertaan pasukan dan pelumba lebih bagus."


Editor: Nafis Abdullah