Itu pernyataan tepat untuk menggambarkan isi kandungan dalam perincian dokumen yang diserahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa.

Ia merungkai langkah proaktif FAM sendiri yang mengharapkan kelangsungan Bola Sepak Malaysia tidak terhenti sepenuhnya musim ini.

Tidak bermaksud badan induk ini membelakangi kepentingan kesihatan negara tetapi berdasarkan penurunan kes Covid-19 akhir-akhir ini ia seolah olah petanda baik untuk saingan Liga Malaysia kembali di sambung.

Kelegaan juga terasa pada penulis sendiri, yang dapat membaca, FAM tidak semudah itu untuk membiarkan Liga Malaysia musim 2020 berkubur awal.

Jika ramai yang berpendapat pertemuan FAM dan MKN hanya akan mencari jawapan sama ada liga akan dibatalkan jelas bukan jawapan yang tepat.

Apabila Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri sendiri menjelaskan pihaknya akan membuat pertimbangan jika kena cara dan Standart Operasi Prosedur (SOP) yang dibawa FAM, ia umpama ada sinar di hujung terowong.

Julai atau Ogos?

Itu mungkin tempoh terbaik yang perlu dipertimbangkan MKN agar hasrat FAM bersama dengan Penganjur Liga Malaysia (MFL) jadi kenyataan.

Perlu penilaian terperinci untuk jumlah kerugian sebanyak 100 juta ringgit Malaysia yang terpaksa di tanggung FAM seandainya liga di batalkan.

Kesukaran lain yang terpaksa di hadapi pemain serta jurulatih atas implikasi liga batal yang secara automatik seiring dengan kontrak pemain dan jurulatih juga terbatal di bawah prinsip undang-undang Malaysia, Akta Kontrak 1950.

Semuanya akan terjawab dalam masa terdekat, FAM ada tindakan drastik untuk menyelamatkan Liga Malaysia namun yang ada jawapan rasmi hanyalah MKN yang turut mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).