Kesilapan individu dan kurangnya keyakinan diri daripada Harimau Malaysia -- itu yang membuatkan mereka tewas kepada Indonesia yang baharu sahaja dibebaskan daripada pengantungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Seperti yang disaksikan menerusi siaran langsung dari Stadium Manahan, Solo, malam tadi, Harimau Malaysia mudah dijinakkan Sang Garuda 3-0, dengan kesemua gol dihasilkan dalam separuh masa pertama.

Apakah puncanya dan mengapa pasukan tuan rumah begitu berkeyakinan sedangkan Indonesia tidak ada mengadakan perlawanan di peringkat antarabangsa semasa pengantungannya?

Apa yang membezakan di antara pasukan Indonesia dan Malaysia adalah sikap pemain-pemain mereka serta kualiti teknik asas kemahiran dalam bola sepak.

Dua sikap itu yang membezakan kejayaan pasukan Indonesia dan Malaysia.

Sikap kejujuran dalam diri setiap pemain untuk mengangkat dan menjulang Indonesia lebih terbukti berbanding segelintir pemain bola sepak di negara kita yang hanya memikirkan habuan kewangan daripada menabur bakti kepada negara.

Begitu juga segelintir individu di dalam pengurusan yang hanya mementingkan kejayaan di peringkat kelab dan domestik tetapi tidak memikirkan nama Malaysia.

Ingatlah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dan jujurlah pada nama Malaysia.