“Berdasarkan persembahan kami hari ini, saya rasa kami tidak layak untuk bermain dalam Liga Juara-Juara musim depan.”

Kata-kata yang cukup pedas ini datang tidak lain tidak bukan daripada pengurus Liverpool sendiri, Jurgen Klopp.

Sewaktu menentang Leeds United empat hari lalu, Liverpool dibolosi gol tiga minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

Semalam, skrip yang sama berulang -- bezanya cuma kali ini mereka dibolosi sepakan terakhir perlawanan daripada Joe Willock pada minit ke-95 untuk Newcastle mengigkat kedudukan 1-1, satu tamparan yang pastinya cukup menyakitkan.

Empat mata yang begitu berharga tercicir dalam tempoh seminggu, masakan tidak Klopp mempersoalkan kelayakan pasukannya?



Dalam temu bual bersama laman sesawang BBC, Klopp berkongsi satu ayat yang ringkas tetapi pedas:

"Kami masih ada baki lima perlawanan lagi, jadi tunggu dan lihatlah. Sama ada kami belajar daripada kesilapan atau kami lupakan sahaja Liga Juara-Juara Eropah, itu sahaja."

Penantian 30 tahun Liverpool untuk meraih kejuaraan berakhir tahun lalu, dengan skuad kendalian Klopp itu membereskan kesemua pihak lawan dengan penuh bergaya.

Mereka memenangi 18 daripada 19 perlawanan di gelanggang sendiri dan mengakhiri musim dengan jumlah 18 mata lebih banyak berbanding Manchester City di tangga kedua.

Malangnya, mereka hanya mampu menang lima kali sahaja di Anfield musim ini.

Ya, hanya lima kali.

Antara kesemua kelab dalam Liga Perdana, cuma Fulham yang mencatatkan rekod kemenangan lebih rendah, iaitu empat kali sahaja.



Sememangnya sukar untuk mereka menyamai persembahan dan kualiti musim lalu tetapi tiada sesiapa menyangka betapa teruknya mereka merudum tahun ini.

"Dalam perlawanan menentang kelab-kelab yang berkedudukan lebih rendah, kami meraih begitu banyak peluang keemasan untuk menjaringkan gol tetapi kami gagal menyempurnakannya.

"Siapa yang harus dipersalahkan selain daripada diri kami sendiri? Tiada sesiapa pun!

"Pada saat ini, kekecewaan kami sememangnya memuncak tetapi saya haruslah mencari jalan untuk kami kembali pulih.

"Memang sukar tetapi kami harus menerima hakikat," ujar Klopp lagi.

Sejujurnya, Liverpool bukanlah satu-satunya pasukan yang bergelut di gelanggang sendiri musim ini, malah Leicester, Arsenal dan Tottenham turut menempuh nasib yang sama.

Namun, selain mencatatkan kemenangan dalam jumlah yang cukup sedikit, Liverpool juga sudah tewas di Anfield sebanyak enam kali musim ini, sama banyak dengan kelab-kelab seperti Brighton dan Burnley!

Dalam keadaan sekarang, biarpun Liverpool memenangi kesemua saki-baki perlawanan mereka, tempat dalam Liga Juara-Juara masih tetap tidak dapat dijamin.

Ke mana pula kunjungan mereka seterusnya?

Ke Old Trafford untuk bertemu dengan seteru tradisional, Manchester United, yang menduduki tangga kedua liga ketika ini.

Selamat berjaya, juara semusim.