Olimpik Rio, Brazil menjadi tumpuan dunia dan rakyat Malaysia mengharapkan kilauan emas akan menjelma.

Namun di sebuah bandar kecil selatan Poland, Bielsko-Biala, seorang anak muda Malaysia mencuri tumpuan setelah muncul sebagai juara di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2016.

Ng Eain Yow dari Kuala Lumpur dan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu mengejutkan pilihan pertama kejohanan, Saadeldin Abuaish dari Mesir dengan keputusan 3-1.

Dia mengakhiri penantian 18 tahun Malaysia selepas Ong Beng Hee - kini jurulatih kebangsaan menjadi juara kategori remaja lelaki di Princeton Amerika Syarikat tahun 1998.

120816 Ng Eain Yow, skuasy

Sejak kecil lagi Eain Yow mengimpikan untuk menjuarai Terbuka Remaja British, Juara Remaja Dunia dan pemain profesional.

Semuanya dikecapi dengan usaha keras, disiplin dan semangat pada usia semuda 18 tahun.

Para jurulatih antarabangsa dan para media skuasy melihat potensi besar Eain Yow untuk melalui transisi ke peringkat senior dengan lancar.

Pemain skuasy wanita Malaysia sudah membuktikan keupayaan mereka di ranking antarabangsa antaranya Datuk Nicol David, bekas pemain nombor 1 dunia dan Juara Dunia lapan kali yang juga pernah merangkul gelaran Kejuaraan Remaja Dunia sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1999 dan 2001.

Lebih manis lagi, Nicol dipilih oleh akhbar British, The Telegraph sebagai salah satu daripada 20 atlet terbaik di dunia.

Harapan besar supaya Eain Yow meneruskan legasi positif skuasy Malaysia dan berkembang sebagai seorang pemain skuasy yang dapat mencipta ranking dunia lebih baik dari kedudukan ke-7 yang pernah dilakar oleh idolanya, Beng Hee.

Kini, kejayaan dan semangat Eain Yow di Poland perlu diteruskan di Brazil kerana atlet negara mempunyai tugas penting di sana dengan membawa pulang pingat emas pertama Olimpik balik ke Malaysia.