Jadi atlit negara bukan semuanya indah.

Bila menang dijulang sebagai wira namun siapa tahu apa yang mereka lalui sepanjang perjalanan untuk menaikkan nama negara?

Sanggupkah anda mengeluarkan duit poket sendiri untuk mewakili negara? Jumlah bukan sedikit, ada yang mencecah ratusan ribu Ringgit.

Antara yang mengalami cabaran itu, pemain dodgeball.

Kapten, Carlos Benjamin Goonting dan rakan-rakan sanggup mencatu perbelanjaan, mengasingkan gaji dan mendapatkan bantuan saudara-mara untuk mengumpul RM8,000 seorang bagi menyertai Kejohanan Dodgeball Dunia di Amerika Syarikat, hujung tahun lalu.

Mereka juga menjalankan kempen 'Bangkitlah' dengan menjual t-shirt hingga berjaya mengumpul RM13,000.

Akhirnya, skuad lelaki negara berjaya mempertahankan kejuaraan dunia selepas menewaskan Amerika Syarikat di final sementara pasukan wanita, naib juara dunia.

"Kami akan berusaha untuk mencipta kejayaan hatrik di New Mexico, hujung tahun ini. Kami belum memikirkan cara untuk mengumpul dana tapi jika tiada cara lain, kami akan jual t-shirt lagi," katanya.

Realitinya, RM13,000 tidak cukup untuk menghantar keseluruhan pasukan menyertai kejohanan dunia namun kesungguhan mewakili negara itu penting.

Dua kali skuad lelaki muncul juara dunia, mungkin sudah tiba masa untuk kerajaan memikirkan jalan untuk bantu mereka.

"Usaha mereka patut dapat pujian. Bukan mudah untuk memulakan sukan baru di Malaysia. Kami akan cari jalan terbaik mengenai perkara ini," kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Saya fikir, tiada salahnya jual t-shirt untuk menampung perbelanjaan kerana ia salah satu jenama pasukan yang ada nilai.

Cuma aspek pemasaran dan penjenamaan itu perlu dibincangan lebih teliti dengan persatuan supaya reputasi pemain terjamin. Jangan sampai mereka jual t-shirt tepi jalan, nanti kecoh lagi.