Bekas pelumba trek kebangsaan, Josiah Ng, tidak bimbang dengan keputusan Institut Sukan Negara (ISN) menjual jentera WX-R kepada negara lain walaupun ia dibina khas untuk memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setakat ini, Lithuania dan Greece sudah menyatakan hasrat membeli WX-R yang berharga RM300,000.

Ia termaktub dalam peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bahawa setiap basikal yang direka khas untuk menyertai Sukan Olimpik perlu dipasarkan kepada pengguna.

"Saya selalu membandingkannya dengan Formula 1 (F1). Memang ada persamaan. Dalam sukan itu, adakah dengan membeli enjin Mercedes mampu menjamin kejayaan? Jadi, ia terpulang bagaimana untuk mengendalikannya. Saya tidak fikir ia perlu dirisaukan," katanya.

Sementara itu, pengurus Team Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit, kecewa dengan sikap berdiam diri penganjur Tour de Iskandar Johor apabila masih belum melangsaikan wang hadiah kemenangan berjumlah RM20,000 sejak 11 bulan lalu.

Tambahan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan penganjur sudah menerima dana RM800,000 untuk menganjurkan saingan tiga peringkat perlumbaan itu.

"Setiap persekutuan berbasikal di Malaysia mempunyai hak untuk menuntut penganjur mendapatkan jaminan daripada PKBM sebelum saingan diadakan," kata Sayuti.

"Penganjur meletakkan deposit kepada PKBM terutama hadiah kemenangan untuk mengelakkan masalah. Namun, ini bersifat persefahaman. Walaupun ditetapkan, penganjur ada kekangan tertentu berkenaan penganjuran," tambah Naib Presiden PKBM, Firdaus Arshad.

"Kos adalah RM1.5 juta. Jadi, saya sudah bayar hampir RM500,000 daripadanya menggunakan wang sendiri. Jadi, saya masih ada hutang dengan kontraktor. Ini yang saya minta tempoh," tambah Pengarah Urusan Tour de Iskandar Johor, Datuk Johari Mphd Sah.