Bekas jaguh berbasikal trek negara, Josiah Ng, bimbang dengan masa depan pelumba wanita jika bergantung kepada Anis Amira Rosidi, selaku wakil tunggal bagi menggantikan Fatehah Mustapa yang baru sahaja mengambil keputusan untuk bersara.

Pelumba berusia 22 tahun itu menjadi harapan terbaik menggantikan Fatehah selepas meraih gangsa pecut berpasukan Kejohanan Trek Asia 2019 selain emas acara sama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pencapaian pelumba kelahiran Kangar, Perlis itu masih jauh dibandingkan dengan Fatehah namun setakat ini, cuma dia berpotensi menggantikan bekas ratu trek negara.

Josiah berpendapat, tanggungjawab yang besar itu tidak seharusnya dipikul oleh Anis malah mengharapkan lebih ramai lagi pelumba negara sementara menjelaskan perjalanan atlet berusia 22 tahun itu masih lagi panjang.

"Saya berasakan Anis memiliki potensi untuk menjadi pengganti Fatehah, tetapi bukan mudah untuk bergelar pelumba berbasikal trek yang bertaraf profesional. Dia perlu terlebih dahulu mendominasi saingan Asia Tenggara sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.

"Malaysia amat memerlukan lebih ramai atlet wanita, kita tidak boleh bergantung kepada seorang pelumba, seperti ketika saya bergelar atlet, Azizulhasni Awang merupakan seorang lagi atlet yang boleh dijadikan sebagai harapan untuk meraih gelaran di pentas antarabangsa."

Sebelum ini, Malaysia turut seorang lagi pelumba berbasikal trek wanita negara, iaitu Farina Shawati Adnan.

Namun prestasi pelumba muda tersebut merosot sejak meninggalkan kem latihan di Melbourne hingga digugurkan daripada Program Podium.