Persoalan timbul mengenai bagaimana seorang pengurus pasukan yang bereputasi hebat boleh mengeluarkan kenyataan yang berbunyi pelik dan tidak masuk akal? Kalau sudah namanya Jose Mourinho pastinya tidak ada yang mustahil kerana dia terkenal dengan kebijaksanaannya menukar tumpuan.

Seolah tidak timbul rasa bersalah di dalam diri, jurulatih dari Portugal ini merasakan penyingkiran Manchester United di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara oleh Sevilla sebagai sesuatu yang biasa, malah dengan bangganya Mourinho menyingkap sejarah di mana pada 2004, dia yang ketika itu membimbing Porto berjaya melakukan kejutan di Old Trafford pada pusingan sama. Begitu juga pada musim terakhirnya bersama Real Madrid, United terpaksa akur memberi laluan kepada gergasi Sepanyol itu untuk ke suku akhir.

Sedar kebanyakan penyokong masih terbuai dengan kejayaan United menewaskan musuh di Liga Perdana Inggeris, Liverpool, Mourinho cuba cucuk jarum dengan mengingatkan bahawa United masih pasukan yang lebih baik berbanding The Reds dengan peluang menjulang kejuaraan Piala FA, ketika realitinya Liverpool masih berada di saingan Eropah ini.

Harapnya usaha Mourinho ini membuahkan hasil, dalam keperluan dia fokus untuk memastikan United menang aksi menentang Brighton & Hove di saingan Piala FA hujung minggu nanti.

Kalau tidak, penyokong Liverpool yang selama ini memang tidak mempunyai persepsi baik terhadap jurulatih berusia 55 tahun ini semakin banyak sebab untuk menghentamnya, malah bekas pemain-pemain United pun semakin ramai yang terang-terangan mengkritik Mourinho. Mana tidaknya, 4 pasukan atasan La Liga, Barcelona, Atletico Madrid, Real Madrid dan Valencia tiada masalah tundukkan Sevilla musim ini.

Tetapi buat masa ini, barisan pemain United nampaknya terpaksa menelan hakikat bahawa mereka adalah punca kegagalan kempen Liga Juara Juara Eropah kerana tidak beraksi dengan baik dan untuk itu, perlu menjadi saksi kemaraan Sevilla buat kali pertama ke suku akhir.

Bak kata Romelu Lukaku, rakan sepasukannya "hilang" tak tahu ke mana hampir keseluruhan 90 minit aksi. Agak-agaknya, siapa yang bertanggungjawab mencari mereka yang "hilang" ini ya?