Serie A antara liga utama Eropah hingga mengundang minat ramai pemain di serata dunia untuk berhijrah.

Daripada acuan liga itu, Roberto Mancini memilih pemain-pemain yang dipercayai mampu mendukung falsafah permainannya bagi memulihkan semula imej selepas kegagalan ke Piala Dunia 2018.

Dalam kisah kejayaan mereka menyingkirkan Sepanyol dalam penentuan sepakan penalti awal pagi semalam, terselit tiga pemain naturalisasi dalam skuad Azzuri yang diketuai Jorginho, Emerson Palmieri termasuk Rafael Toloi sebagai pemain gantian.

Pemain naturalisasi dan warisan di sana dirujuk sebagai 'oriundi' dalam bahasa tempatan.

Ini bukan kali pertama mereka menyenaraikan pemain asing. Tetapi kebiasaannya mereka mendaftarkan pemain kelahiran Argentina, besar kemungkinan atas susur galur seperti Mauro Camorenesi dalam kejayaan Piala Dunia 2016 misalnya.

Bermain sebagai watak di hadapan pertahanan, Jorginho merupakan tonggak yang akan beraksi sepenuh masa.

Walaupun ramai yang masih sangsi dengan peranannya termasuk di Chelsea sendiri, pemain tengah bertahan tersebut mempamerkan ketenangan tinggi ketika menyempurnakan sepakan penalti yang membawa kemenangan Itali itu.





Sejak awal kempen lagi kelibatnya disebut-sebut kerana menjadi nadi melancarkan bahagian tengah. Tambahan pula berdepan Sepanyol, sebuah pasukan yang gemar menguasai permainan maka Itali sedar mereka perlu menderita.

Pengorbanan bukanlah asing bagi pemain luar seperti Jorginho yang dilahirkan dalam sebuah keluarga berpendapatan rendah di sebuah pekan kecil di Imbituba, Brazil.

Selepas mendesak ayahnya untuk mendedahkannya kepada akademi, dia terpaksa meninggalkan keluarga sejauh 200km sejak berusia 13 tahun.

Dua tahun kemudian dia ke Eropah kerana pemilik akademi itu juga turut mempunyai kelab di Itali iaitu Verona.

Bermulalah kisah naturalisasinya. Meskipun mengakui akan kembali ke kampung halamannya pada suatu hari nanti, ia sedikit pun tidak menggoyahkan pendiriannya untuk berbudi dengan 'negara angkatnya' itu walaupun pernah ditawarkan untuk mewakili Brazil.

Dia menerima elaun sebanyak €20 (RM98.00) seminggu sebagai permulaan karier amaturnya di Itali pada umur 15 tahun.

Dia perlu berhemah dalam soal belanjawan; masih sempat menelefon keluarga, berjumpa kawan-kawan sekampung secara maya seminggu sekali dan duit selebihnya digunakan untuk membeli kelengkapan seperti sabun dan ubat gigi.

Soal tempat tinggal dan makan minum tidak perlu dirisaukan kerana akademi menampungnya.

Ketika berusia 17 tahun -- setahun sebelum bertukar profesinal -- dia pernah 'koyak' sampai terpaksa dipujuk keluarganya.

"Jangan lakukannya, belum boleh balik lagi. Kamu mungkin berasa teruk, tapi kamu begitu hampir untuk merealisasikan impian kami dan kamu akan menyedarinya sedikit masa lagi," demikian yang azimat yang dipegangnya hingga ke hari ini.

Selepas membantu Chelsea menjulang Liga Juara-Juara, mungkinkah satu lagi kejayaan utama musim panas ini akan mengangkatnya sebagai calon kuat pemain terbaik dunia iaitu Balon D'or?