Maurizio Sarri pergi meninggalkan Chelsea selepas hanya semusim membimbing pasukan The Blues. Beliau yang menandatangani kontrak tiga tahun di Stamford Bridge, meninggalkan kelabcitu atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Apa yang lebih menarik, Sarri melangkah masuk ke kelab yang lebih besar dan berjaya iaitu Juventus.

Khidmat Sarri tidak begitu dihargai di Chelsea dan itu bukanlah perkara baru buat kelab yang dikawal sepenuhnya oleh pemilik, Roman Abramovich. Lihat sahaja bagaimana Chelsea mensia-siakan khidmat Antonio Conte, pengurus yang berjaya membawa Chelsea muncul juara liga pada tahun pertama beliau dalam Liga Perdana Inggeris. Lihat pula bagaimana Jose Mourinho beberapa kali keluar masuk dalam kelan itu.

Perkara sama terjadi kepada Sarri, yang berjaya membawa Chelsea menamatkan saingan liga di tangga ketiga, selain menjuarai Liga Europa. Kejayaan yang dibawa itu gagal meyakinkan Abramovich dan khidmatnya ditamatkan untuk membuka ruang kepada pengendali baru. Dikhabarkan, bekas bintang Chelsea, Frank Lampard, menerima tawaran mengendalikan The Blues buat masa ini.

Namun, ramai pemerhati bola sepak beranggapan bahawa Sarri bakal menerima lebih lagi kejayaan di Turin memandangkan skuad yang dimilikinya bukan biasa-biasa. Sarri bakal mengemudi skuad yang dibarisi pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan Mario Mandzukic.

Sarri dipilih membimbing Juventus selepas jurulatih sebelumnya, Massimiliano Allegri, gagal membawa pasukan itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah. Kontrak tiga tahun sehingga 2022 yang secara tidak langsung menyaksikan Juventus perlu menyediakan bilik merokok khas buat Sarri, memandangkan beliau dijangka kekal lama dalam Serie A berdasarkan rekod terdahulu bersama pasukan Napoli.