Lebih setengah juta orang menandatangani satu petisyen mendesak kedua-kedua Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengenakan hukuman ke atas Sergio Ramos tahun lalu.

Ia susulan apa yang dipercayai sebagai perbuatan sengaja kapten Real Madrid itu mencederakan Mohamed Salah hingga penyerang Liverpool itu tidak dapat meneruskan aksi final Liga Juara-Juara (UCL) di Kiev pada 26 Mei 2018.

Real menang 3-1 untuk ditabal juara buat kali ketiga berturut-turut, Ramos yang mendahului rakan sepasukan menjulang trofi ‘Telinga Besar’ itu dan selebihnya hanya tinggal sejarah.

Bukan saja tiada hukuman lanjut dikenakan ke atas Ramos, malah insiden berkenaan tidak pernah membuat dia berasa serik atau cuba mengubah permainan kotornya – faul profesional dan kelicikan meraih kad amaran demi manfaat dirinya adalah ‘tanda dagangan’ kereta kebal Los Blancos ini.

Ahad lalu, Ramos sekali lagi dilayangkan kad merah dalam kekalahan 1-2 di laman sendiri kepada Girona untuk meningkatkan jumlah kad merahnya kepada 25 sejak menyertai Real daripada Sevilla pada 2015.

Malah, ia bukan pun sesuatu yang asing kerana kecuali pada musim 2014/15, pemain antarabangsa Sepanyol berusia 32 tahun itu memiliki purata dibuang padang sekurang-kurangnya sekali pada setiap musim.

Berikan apa saja gelaran kepadanya – daripada pemain paling kotor hinggalah kepada pakar seni hitam dalam bola sepak – namun Ramos tidak pun akan terkesan. Caci-maki sudah menjadi kebiasaan buatnya tapi di sebalik semua itupun, dia sentiasa mengutamakan pasukan.

Lihat saja contoh dalam perlawanan menentang Girona itu.


Kad merah ini sengaja ditempah Ramos agar dia bebas beraksi menentang Barcelona pada 2 Mac

Mengutip kad kuning pertama hingga mengakibatkan sepakan penalti, Ramos meraih kad kuning kali kedua yang bertukar merah gara-gara satu sepakan gunting berbahaya.

Kerana itu, dia hanya terlepas perlawanan liga berikutnya menentang Levante tapi bebas untuk aksi berikutnya -- Clasico berdepan Barcelona pada 2 Mac.

Hanya beberapa hari sebelum itu pada 14 Februari lalu, Ramos melakukan kelicikan yang sama ketika Real menundukkan Ajax 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 UCL di Amsterdam.

Memasuki minit ke-89 permainan, dia merebahkan Kasper Dolberg untuk meraih kad kuning – dengan penuh kesedaran ia akan mengetepikannya dalam perlawanan timbal balik di Bernabeu tapi akan membebaskannya untuk aksi suku akhir yang dijangka dicapai mereka.

Kepada soalan kad kuning itu disengajakan, Ramos menjawab: “Melihat kepada keputusan (2-1 itu), saya akan berbohong jika saya mengatakan tidak.

“Dalam bola sepak, adakalanya anda perlu membuat keputusan sukar.”

Sergio Ramos hanya satu, tiada dua seumpamanya.

Sama ada anda menyukai atau membencinya, dia tahu tugas yang perlu dilakukannya demi pasukan.

Pertahanan tengah veteran Juventus, Giorgio Chiellini, tidak berselindung dengan penilaiannya bahawa Ramos adalah pertahanan terbaik di dunia.

Mengamalkan seni hitam atau tidak, sanjungan sedemikian harus cukup membuat Ramos berbangga.