Bukan elemen persaraan yang menarik minat penulis tetapi semangat melawan yang dimiliki Kevin begitu 'rare' dan tidak ramai individu dikurnaikan kesabaran seperti ini.

Inilah contoh atlet yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Kevin Yeap, antara atlet senior yang mewarnai kemeriahan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 menerusi acaran renang terbuka lelaki.

Melihat kepada personaliti, Kevin seperti kebiasaan atlet negara yang lain, namun keistimewaan anak jati Perak ini adalah, usaha tanpa penat, selain tidak takut menyahut cabaran.

Emas pertama Kevin di Sukan Sea terlahir di bumi Palembang, enam tahun lalu, Pusat Akuatik Jakabariang menjadi saksi, dan penulis turut berada di sana menyaksikan detik paling berharga Kevin yang membawa pulang emas bagi acara 400 meter dan selain gangsa untuk acara 'bidan terjun' renang terbuka yang menjadi titik permulaan perubahan daripada kolam renang ke renang terbuka empat tahun kemudian.

Kesukaran Kevin mencari catatan masa terbaik sejak dua tahun lalu membuatkan atlit ini hilang punca selain turut kecewa dengan kegagalannya menguasai acara jarak jauh 1500 meter di mana Kevin sekadar raih pingat perak dalam tiga penganjuran Sukan Sea bermula di Indonesia 2011 hingga edisi dua tahun lalu di Singapura.

Kevin terfikir mungkin sudah sampai masa untuk dia beri laluan kepada atlet muda isi skuad kebangsaan selepas 10 tahun dia berkhidmat untuk negara.

Suara hati Kevin cepat di cantas jurulatihnya, Paul Birmingham dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Mae Chan yang beri syarat mudah, 'Jika mahu berhenti, biarlah bermaruah.'

Itulah yang menjadi titik tolak perubahan dari kolam renang ke renang terbuka, keputusan yang diambil Kevin setahun lalu.

'Saya tidak pasti dengan perubahan yang saya ambil setahun lalu, tetapi saya tiada jawapan kalau saya tidak mencubanya'

Tempoh setahun Kevin melewati pelbagai perubahan ketara, apa tidaknya 10 tahun di kolam renang, dia perlu menyesuaikan diri dalam masa yang singkat di renang terbuka.

Tunjuk ajar dan pengalaman di peringkat tertinggi rakan senegara Heidi Gan juga banyak membantu Kevin meraih emas pertama di renang terbuka, dan emas kedua di Sukan Sea selepas enam tahun.

Kepuasan jelas terpancar di wajah perenang berjiwa besar ini sebaik dia melewati laluan penamat selaku perenang pertama selepas melewati enam pusingan bagi jarak 10 kilometer renangan.

Kevin sudahpun mencapai syarat untuk dia menamatkan kariernya selaku perenang negara yang BERSARA DENGAN BERMARUAH.

Jangan cepat kecewa dengan kesukaran di hadapan mata, mungkin ada cara lain yang sebenarnya lebih dekat dengan kejayaan. Peluang untuk berjaya bukan hanya satu malah ia ada di mana-mana. Tugas kita untuk mencari dan realisasikannya.

Kevin, perjalanan karier anda pembakar semangat untuk penulis, semoga bermanfaat untuk kita semua.