Pelancaran jersi Selangor FC untuk musim 2021 pada 1 Februari lalu tetap luar biasa bagi penulis biarpun ia hanya berlangsung menerusi laman sosial pasukan itu.

Sudah pasti ramai yang melihat rekaan jersi ini sebagai nostalgia buat Selangor ketika menjuarai Piala Malaysia pada musim 1986.

Namun bagi penulis, rekaan jersi musim 2021 yang mirip jersi pada 1986 sebenarnya turut mempunyai aura legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Musim 1986 juga adalah kali terakhir Mokhtar menjuarai Piala Malaysia bersama Selangor.

Rekaan yang menonjolkan warna merah,hijau dan kuning itu turut mempunyai maksud tersendiri.

Ia adalah warna Raja Muda Selangor dan pada 1986, Sultan Selangor kini Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Raja Muda Selangor ketika itu.


Customize jersi anda mengikut kemahuan anda sekarang di SelangorFC.com dengan nameset rasmi JOMA dengan harga...

Posted by Selangor FC on Monday, February 1, 2021



Oleh itu, rekaan jersi 2021 yang dianggap retro juga adalah penghormatan kepada baginda.

Penulis turut memuji tindakan pengurusan Selangor FC kerana turut membabitkan anak sulung Mokhtar, Redza Mokhtar dalam pelancaran jersi musim ini.

Rekaan jersi ini pasti turut memberi peransang buat pemain-pemain musim ini untuk berjuang dengan keazaman, komitmen serta semangat tinggi yang pernah dijelmakan Mokhtar satu ketika dulu.

Sudah pasti ada juga peminat yang melontarkan pandangan negatif terhadap rekaan jersi ini.

Tetapi bagi penulis, jersi ini mempunyai 'Aura SuperMokh' yang pasti menyemarakkan lagi semangat pemain apabila berjuang di tengah padang membawa nama Selangor.

Dengan barisan yang tampak lebih ampuh berbanding musim lalu, tidak mustahil Selangor akan muncul sebagai antara pencabar utama di Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Ramuan pemain juga memberi lebih banyak pilihan buat pengendali Selangor, Karsten Neitzel membentuk skuad mantap.

Hanya kini, pemain-pemain perlu merealisasikan perancangannya di atas padang kelak.