14 tahun lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) [ketika itu Persekutuan Hoki Malaysia] melancarkan jersi skuad negara.
Saya masih ingat, beberapa pemain idola seperti kapten, Mirnawan Nawawi, Maninderjit Singh dan Azlan Bakar, menyarung jersi warna kuning dengan saiz sedikit besar (fesyen slimfit belum diminati).
Jersi itu yang paling segak pernah saya lihat untuk skuad hoki negara sehinggalah KHM membawa nafas baru.
Pelancaran jersi baru dengan tiga warna, seminggu menjelang Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Pahang sememangnya tepat pada masanya.
"Sudah lama saya tidak merasai suasana seperti ini. Dulu ketika kami terbabit dengan pelancaran jersi Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur, suasananya lebih meriah tapi kali ini lebih istimewa.
"Saya berharap rakan sepasukan mendapat semangat baru daripada jersi ini untuk memastikan kita menaiki podium di Kuantan," kata penjaga gol berpengalaman, S Kumar.
Saya hanya tersenyum mengimbau semula bagaimana saya memotong poster gergasi Mirnawan, Maninderjit Singh dan mendiang Chua Boon Huat, menyarung jersi skuad Piala Dunia 2002, dan menampalnya pada dinding bilik tidur.
Begitupun, hanya segelintir yang meminati jersi itu dan amat jarang melihat peminat sukan memakainya ketika melakukan riadah atau bersiar-siar.
"Saya harap jersi ini jadi fenomena kepada kanak-kanak, remaja atau orang dewasa di negara kita seperti jersi pasukan bola sepak kebangsaan.
"Biarlah mereka yang menyarung jersi ini berasa megah seperti mana pemain hoki negara yang mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia. Lebih-lebih lagi jika Malaysia, tidak kira skuad lelaki atau wanita dapat layak ke Piala Dunia 2018," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.
Baju ini bukan sekadar jersi.
Ia lambang kemegahan hoki Malaysia, kerana hanya pemain terbaik pernah menyarungnya dan The Malaysian Hockey Tigers, masanya sudah tiba untuk menggegar Kuantan!