Kerancakan dan debaran aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2019 yang menjadi misi hidup mati beberapa pasukan sedikit terencat akibat jerebu yang melanda negara ini.

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU), beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak menunjukkan kualiti udara tidak sihat menerusi bacaan yang didapati melebihi 150.

Semakin tinggi tahap IPU, semakin tinggi kesan terhadap kesihatan diri manusia yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas, jangkitan dan serangan jantung.

Saya bertugas untuk membuat liputan perlawanan kumpulan C antara Pulau Pinang dan Pahang juga terkesan dengan cuaca buruk yang turut melanda di negeri itu.

Malah, kedua-dua pasukan terpaksa memendekkan sesi latihan masing-masing bagi mengelak pemain dan barisan kejurulatihan mengalami masalah kesihatan sehari sebelum perlawanan.

Mengikut garis panduan MFL, jika venue aksi sesuatu perlawanan mencatatkan bacaan IPU melebihi 150, maka perlawanan tersebut layak ditangguhkan.

Namun, perlawanan tetap diteruskan dan berjalan seperti biasa. Saya kira, ia mendapat persetujuan bersama kedua-dua pasukan yang mungkin enggan berdepan dengan penundaan perlawanan.

Ini kerana, keputusan penangguhan perlawanan mengambil kira laporan pegawai perlawanan yang ditugaskan khas di setiap venue dan sekiranya terdapat permohonan rasmi daripada pasukan bertanding.

Untuk rekod, sebanyak lapan perlawanan Piala Malaysia membabitkan 16 pasukan berlangsung pada Selasa dan Rabu, dengan tujuh daripadanya di Semenanjung sementara satu di Sabah.

Beraksi dalam jerebu mungkin memberi pengalaman baru kepada beberapa pemain terutama pemain import, namun apa yang pasti mereka seolah beraksi dalam cuaca musim sejuk dan ada juga berasakan seperti bermain dalam sauna!