Jurulatih dari Malaysia, Jeremy Gan dan Tan Kim Her, bawa kejayaan kepada kuasa baru badminton, Jepun.

Kalau semuanya tidak menjadi di kem badminton Malaysia tapi di Jepun semuanya jalan.

Melihat Jeremy di atas podium bersama pasukan badminton wanita Jepun yang mencipta sejarah menjulang Piala Uber 2018 setelah penantian 37 tahun, perasaan bercampur bangga dan kesal juga ada.

Bangga untuk melihat anak Malaysia merantau ke negara matahari terbit dan membuktikan keupayaan menjadi jurulatih berkaliber antarabangsa, pada masa yang sama sedih kerana badminton negara kehilangan khidmatnya.

Jeremy, bekas pemain kebangsaan yang meneruskan karier sebagai jurulatih selama 15 tahun di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dipancing pada 2017 oleh legenda badminton Korea Selatan yang juga ketua jurulatih Jepun, Park Joo-bong, yang pernah membimbing pasukan Malaysia dari 1999 sehingga 2002.

Di bawah Jeremy, Yuta Watanabe-Arisa Higashino menjuarai All England 2018 dan Sabtu lalu di kaca televisyen saluran Astro Supersport, jurulatih kelahiran Melaka itu membimbing pemainnya dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia.

Bukan Jeremy sahaja yang cemerlang bersama pasukan Jepun di Arena St.Jakobshalle, seorang lagi bekas pemain bergu lelaki kebangsaan, Tan Kim Her, yang sebelum ini membawa pasukan India mengejutkan pasukan Malaysia di final acara berpasukan campuran Sukan Komanwel 2018, kelihatan dengan penuh semangat memberi arahan kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di final acara bergu lelaki.

Kedua-dua jurulatih itu pernah berkata bahawa perwatakan, komitmen dan semangat samurai yang ditunjukkan oleh pemain Jepun sememangnya di kelas tersendiri.

Selain itu antara faktor pasukan Jepun sudah memiliki juara dunia, pemain nombor satu dunia, pingat emas Olimpik, juara All-England, juara Piala Thomas dan Piala Uber adalah kerana pemain senang menerima arahan dan proaktif, budaya kompetitif, hormat menghormati antara satu sama lain serta percaya 100 peratus kepada jurulatih.

Apa yang pasti, Jeremy dan Kim Her akan terus mencuri tumpuan terutamanya di Sukan Olimpik 2020, Tokyo apabila kem badminton Jepun dijangka mempunyai peluang besar rangkul pingat emas dalam kesemua lima kategori terutama daripada pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia dan juara dunia dua kali, Kento Momota.