Saya percaya semua pasukan sedang sibuk bagi urusan jual beli pemain meskipun ada pasukan masih bersaing dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Bercakap mengenai perpindahan pemain, saya begitu teruja dengan jendela perpindahan pemain tahun 2016.

Apa tidaknya, ketetapan baru yang dibuat oleh Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad FMLLP seakan mirip jendela perpindahan liga-liga utama di Eropah.

Paling dekat di pengetahuan peminat sudah pasti Liga Perdana Inggeris EPL apabila jendela perpindahan pertama hanya akan ditutup semasa liga sedang berlangsung pada awal musim berbanding sebelum ini di mana jendela perpindahan ditutup sebelum liga dimulakan.

Gambaran itu mengingatkan saya kepada penjaga gol Manchester United, David De Gea yang tidak diturunkan dalam enam aksi awal United musim ini kerana terikat dengan tawaran daripada gergasi La Liga Real Madrid.

Namun akhirnya, cadangan perpindahan penjaga gol Sepanyol yang bernilai RM185.8 juta itu lebur selepas dokumen berkaitan proses itu gagal diserahkan mengikut tempoh ditetapkan.

Jadi, apakah situasi sama akan berlaku dalam kancah bola sepak Malaysia awal musim depan? pemain terbabit dengan isu perpindahan sekadar menjadi penonton?

Sememangnya, ia akan menjadi satu situasi yang menarik untuk dilihat dan semestinya bakal memberi pengalaman baru buat semua pasukan yang bertanding.

FMLLP memutuskan tempoh jendela perpindahan pertama dibuka pada 23 November hingga 14 Februari dan jendela perpindahan kedua dari 20 Jun hingga 15 Julai.

Pada bulan Januari, jendela perpindahan Liga M selaras dengan jendela perpindahan kedua liga-liga Eropah manakala jendela perpindahan kedua dibuka ketika jendela perpindahan musim panas di Eropah.

Setiap perubahan ada buruk baiknya tetapi pendekatan baru ini tampak membuka lebih banyak pilihan kepada pasukan untuk mendapatkan pemain-pemain tempatan dan terutamanya pemain import yang berkualiti.

Malah, semua pasukan boleh melakukan perubahan dalam pasukan sekiranya berlaku kecederaan terhadap pemain semasa pra-musim selain lebih adil kepada pemain-pemain kerana mempunyai lebih masa untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.

Namun, diharapkan perubahan yang cuba dilakukan FMLLP ini bukanlah sekadar omong kosong sebaliknya perlu dilaksanakan dengan penuh iltizam agar episod liga caca merba musim 2015 tidak lagi berulang musim depan.

Ini liga kita, tanah tumpah darah kita.