Sekalung tahniah buat pasukan Kuala Lumpur dan Terengganu kerana berjaya mengesahkan tempat dalam saingan Liga Super musim 2018.

Kembalinya kedua-dua pasukan ini yang memiliki kumpulan penyokong sudah pasti akan menambah kemeriahan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal memasuki era penswastaan, musim depan.

Antara faktor yang mempengaruhi kecemerlangan kedua-dua pasukan musim ini adalah rombakan pada pertengahan musim.

Terengganu menggugurkan pemain import, Lutfulla Turaev dan Federico Falcone, lalu mengetengahkan Gabriel Davis dari Brazil serta Tchetche Hermann Brice Kipre.

Kuala Lumpur yang melantik Fabio Marciel sebagai pengendali baru pada Mac lalu, merupakan langkah paling tepat biarpun pada jendela April lalu, tindakannya sempat diragui susulan melepaskan pemain tengah berpotensi, Modibo Konte, ke Perlis selain merekrut Farid Ramli untuk mengukuhkan benteng dan kehadiran Paulo Josue untuk menjana serangan.

Begitu juga dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), apabila kelibat Ignacio Insa, Mohamad Ghaddar dan Gabriel Guerra kembali meletakkan Harimau Selatan sebagai pasukan digeruni selepas prestasi terumbang-ambing pada awal musim.

Dua lagi pasukan dalam kelompok atas Liga Super, Pahang dan Felda United, turut mengambil langkah serupa dengan kemasukan pemain import dan jurulatih baru.

Boleh dikatakan, kecuali Kedah, Kuantan FA dan UiTM FC, kesemua pasukan dalam dua divisyen teratas telah mengambil tenaga import yang baru.

Untuk berlaku adil kepada pemain tempatan, wajarlah mereka diberi peluang kerana seperti yang kita sedia maklum, pasaran mereka terhad tetapi tidak bagi pemain import.

Dari kaca mata penulis, ia adalah bentuk ketirisan kewangan persatuan itu sendiri.

Dalam bentuk urusan perpindahan dalam Liga M, sekiranya seseorang pemain itu ditamatkan kontrak, maka secara tidak langsung pasukan itu terpaksa mengeluarkan belanja lebih sama ada terpaksa membayar pampasan, membatalkan pendaftaran pemain itu tetapi kekal bersama pasukan sehingga baki kontrak selesai pada penghujung musim.

Malah, ada yang terpaksa menebus kontrak pemain idaman daripada majikan asal melainkan hadir dengan status sebagai pinjaman.

Untuk kontrak pemain import pula, sesetengah pasukan meletakkan klausa membabitkan prestasi sekiranya berhasrat tidak lagi mahukan khidmat mereka.

Oleh itu, mengapa tidak pasukan lebih berhati-hati dalam pasaran pemain import menjelang musim baru nanti berbanding pasaran pertengahan musim yang dilihat lebih terdesak.



Foto kredit: Facebook Johor Southern Tigers