Real Madrid mengesahkan status selaku juara Eropah yang sebenar selepas menewaskan Manchester United 2-1 dalam aksi final Piala Super Eropah di Macedonia, awal pagi tadi.

Apa yang menarik, kemenangan skuad Los Blancos dijelmakan tanpa kelibat pemenang empat kali Ballon D'or, Cristiano Ronaldo, dalam senarai kesebelasan utama.

Sebaliknya, aksi 90 minit disajikan dengan permainan memukau oleh bintang Sepanyol, Isco.

Memainkan peranan sebagai pemain sokongan bebas buat penyerang, Karim Benzema, jelas memberikan kelebihan buat pemain berusia 25 tahun itu.

Ternyata kepercayaan yang diberikan oleh pengendali, Zinedine Zidane, sejak pertengahan musim lalu meningkatkan keyakinan Isco untuk tampil lebih bertenaga.



Sentuhan pertama pada bola, lorongan buat penyerang serta ketenangan memegang bola yang ditunjukkan oleh Isco membuatkannya persis Zidane di zaman kegemilangan bintang Perancis itu sebagai pemain.

Bekas pemain Malaga itu menjaringkan gol kemenangan buat Madrid, sekaligus menenggelamkan kelibat Ronaldo yang masuk menggantikan Benzema di penghujung perlawanan dan dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Ditambah dengan sokongan dari bahagian tengah oleh Casemiro, Toni Kroos serta Luka Modric, Isco tampak selesa dalam menjana setiap serangan buat juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu.



Yang pasti, saingan 2017-18 sudah terjamin buat Isco di dalam pasukan Madrid tatkala Gareth Bale bergelut untuk meraih keserasian bersama skuad utama dan Marco Asensio serta Lucas Vasquez yang masih dalam tempoh menjadi matang.

Tempatnya sudah terjamin, kehadiran Kylian Mbappe yang dikejar Real Madrid tidak diperlukan, sebaliknya kreativiti Isco bakal menjadi taruhan utama Los Blancos bagi mempertahankan kejuaraan LaLiga serta UCL musim lalu.