Jaringan pada minit ke-83 oleh Safawi Rasid mengesahkan kemenangan 2-1 Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Perak dan kemenangan itu juga mengesahkan JDT selaku juara Liga Super 2018. Ini merupakan kejuaraan yang kelima berturut-turut daripada JDT dalam saingan Liga Super.

Ia juga mencatat sejarah dalam bola sepak Malaysia apabila berjaya bersama kelab-kelab terbaik Asia dalam kejohanan yang sungguh berprestij di Asia iaitu Liga Juara-juara Asia (ACL). Tahniah kepada pemain-pemain JDT, pengurusan dan penyokong yang telah memberi sepenuhnya jiwa dan raga mereka untuk pasukan yang mereka sayangi ini.

Inilah kejayaan yang penuh bermakna kepada pengurusan JDT terutama kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila berjaya merangka perancangan pasukan dengan baik. Mengikut statistik perlawanan Liga Super yang baru mencecah 18 perlawanan, JDT telah berjaya memenanginya 15 daripadanya dan yang menariknya, jumlah bolos yang begitu kecil hanya 7 gol berbanding jaringan yang dilakukan oleh JDT 37 gol walaupun masih berbaki empat perlawanan.

Walaupun kita semua tahu pada pertengahan saingan Liga Super banyak perkara yang berlaku dalam pasukan JDT, namun ia berjaya ditangani dengan baik oleh Tunku Ismail. Sementara kepada pengendali JDT, Raul Longhi, inilah kejuaraan yang penuh dramatik dalam kerjayanya sebagai seorang jurulatih dimana sebelum ini beliau hanya memainkan peranan sebagai orang ke 2 dalam pasukan JDT tetapi kali ini berbeza kerana beliau sebagai ketua jurulatih apabila mengantikan Ulisses Morais yang meletakan jawatan.

Kepada pemain-pemain JDT raikanlah kejayaan yang penuh bermakna ini dengan rasa megah kerana anda telah membawa satu sejarah yang tidak boleh dipadam dan itulah sejarah JDT yang suka membuka buku lebaran baharu untuk dicatat dan dikenang. Tahniah sekali lagi kepada JDT.

Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers