Satu Malaysia kecoh apabila kapten Skuad Bawah 22 Tahun Negara Adib Zainuddin yang juga pertahanan Felcra FC mengesahkan penghijrahan ke Johor Darul Ta'zim musim depan.

Beberapa lama selepas pengakuan Adib itu, bertebaran 'gosip liar’ penghijrahan beberapa pemain lagi ke skuad Harimau Selatan antaranya penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi, pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin dan pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih.

Cerita bertambah menarik apabila barisan pemain senior JDT pula dikaitkan untuk menyertai pasukan lain musim depan susulan dikatakan rombakan besar-besar bakal dilakukan juara Liga Super 2017 itu.

Susulan daripada spekulasi perpindahan pemain itu juga, penulis pula tidak menang tangan menerima panggilan dan kiriman mesej daripada rakan-rakan yang ingin mengetahui mengenai kebenaran berita itu.

Penulis hanya boleh cakap, "no komen, baca boleh, percaya jangan”.

Mengikuti rapat perkembangan bola sepak tempatan, penulis tidak menafikan ada sesetengah perkhabaran itu ada benarnya tetapi ada juga hanya gosip 'liar' semata-mata.

Nama pun gosip, jadi memang belum ‘comfirm’ la kan. Penulis melihat ia sebagai rencah bola sepak. "Jangan serius sangat", orang sekarang cakap.

Apa pun, bercakap mengenai penghijrahan ke JDT, penulis berasakan ia satu keputusan yang tepat dibuat oleh mana-mana pemain.

JDT miliki segala-galanya. Siapa yang tidak mahu bersama kelab yang mempunyai prasarana terbaik, kebajikan terjaga dan beraksi bersama pemain-pemain handalan tempatan dan luar negara. Ia mungkin peluang sekali seumur hidup.

Cuma, pemain yang menentukan hala tujunya sebaik melangkah masuk ke pasukan handalan tanahair itu. Mereka perlu bijak bersaing merebut tempat dan manfaat sekali peluang yang diberikan memandangkan persaingan dalam pasukan berkenaan tampak begitu kompetitif.

Ketika ini, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak antara pemain yang kekal konsisten bersama pasukan JDT dan mungkin kedua-dua pemain itu boleh dijadikan 'role model' kepada mereka yang menyertai pasukan ini nanti.

Apapun sekali lagi, semoga maju jaya buat Adib, Adam Nor, Matt dan mungkin Syafiq Ahmad dengan pasukan baru anda musim depan!