Di kalangan empat pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia, kesemuanya tampak memiliki kelebihan tersendiri menjulang kejuaraan musim ini.

Johor Darul Takzim (JDT) sudah pasti pilihan utama, apatah lagi Piala Malaysia adalah satu-satunya pertandingan yang belum dimenangi sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih pentadbiran kelab itu pada 2013.

Juara empat kali Liga Super itu tampak ampuh di setiap posisi dan seperti musim-musim sebelum ini, mereka mempunyai barisan import dan tempatan terbaik.

Kegagalan melangkah jauh dalam saingan Piala AFC musim ini mungkin menjadi hikmah buat Harimau Selatan lebih fokus merebut kejuaraan Piala Malaysia.

Pengendali JDT, Ulisses Morais tampak juga berjaya memberi nafas baru kepada kelab itu sejak mengambil alih daripada Benjamin Mora pada pertengahan musim.

Lawan JDT di separuh akhir, Perak yang juga merupakan anatara musuh tradisi kelab itu kebelakangan ini turut mempunyai barisan yang baik musim ini.

Di bawah kendalian Mehmet Durakovic, keupayaan Perak tidak boleh diperkecilkan musim ini.

Perlu diingat Durakovic berjaya menjulang kejuaraan bersama Selangor pada 2015 ketika tidak ramai yakin misi 33 mampu terlaksana.

Juara bertahan Kedah, yang akan turut turun dengan gelaran juara Piala FA musim ini turut nampak mantap.

Namun, skuad Lang Merah kendalian Nidzam Adzha Yusof kebelakangan ini tampak kurang konsisten.

Apa pun, jika Baddrol Bakhtiar dan rakan-rakan kembali memberikan aksi terbaik dan kembali ke tahap permainan terbaik, tidak mustahil Piala Malaysia kekal di bumi Kedah.

Skuad Felda United kendalian B Satianathan pula adalah pasukan yang mencuri tumpuan penulis.

Di awal musim, prestasi The Fighters tampak membimbangkan apabila mereka kerap berada di kelompok bawahan Liga Super.

Namun, sejak Satianathan mengambil alih pasukan daripada Azmi Mohamed, bekas pengendali ATM dan Kelantan itu tampak berjaya melakukan perubahan yang diharapkan pengurusan pasukan.

Pemain berpengalaman seperti Wan Zack Haikal Wan Nor kini kembali menghampiri prestasi terbaiknya ketika bersama Harimau Muda.

Manakala tindakan berani Satia memberi peluang buat pemain muda seperti Daniel Amir Norhisham tampak memberi kesan positif buat Felda.

Kapten pasukan, Shukor Adan kekal tonggak pertahanan veteran harapan yang terus berupaya mengetuai pasukan walaupun sudah menjangkau 38 tahun.

Felda turut berupaya menamatkan saingan Liga Super Musim ini di tempat ketiga.

Di atas kertas pilihan peminat ke final sudah pasti JDT-Kedah.

Namun, bagi penulis berlandaskan pemerhatian dan tahap permainan terkini setiap empat pasukan, JDT dan Felda adalah pilihan penulis ke pentas akhir 4 November depan.


Gambar kredit: Facebook Johor Southern Tigers