Penulis bersama jurukamera, Saiful Azuan Kasim juga adalah antara lima wartawan Malaysia yang bertuah untuk menyaksikan detik bersejarah di Stadium Central Republican, Dushanbe pada 31 Oktober lalu apabila kapten JDT, Safiq Rahim menjulang Piala AFC.

Seperti yang diramal penulis sebelum ini, JDT mampu melakar kejutan ke atas Istiklol apabila setiap pemain mempamerkan perwatakkan yang kuat dan berjaya mengekalkan disiplin dalam permainan sepanjang 90 minit perlawanan.

Sebelum perlawanan, penulis menjangkakan Luciano Figueroa hanya akan turun selaku pemain gantian kerana masih belum cergas sepenuhnya.

Namun, bekas penyerang antarabangsa Argentina ini sanggup menahan kesakitan kecederaan hamstringnya untuk beraksi memandangkan ini adalah perlawanan akhir yang amat memerlukan kehadirannya.

Turut cemerlang pada aksi final ialah Safiq, yang dinobatkan sebagai pemain paling bernilai Piala AFC 2015, tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Marcos Antonio Santos serta pemain tengah, Harris Harun.

Penulis juga melihat pengendali JDT, Mario Gomez sebagai seorang jurulatih yang berbeza dengan pengendali import lain dalam kancah Liga Malaysia, menerusi pendekatan taktikalnya serta keberaniannya menggunakan beberapa pemain yang sebelum ini seakan dilupakan beberapa bekas jurulatih Harimau Selatan sebelumnya.

Biarpun seorang yang amat menitik beratkan disiplin dalam pasukannya, Gomez disifatkan pemain JDT sebagai seorang yang mudah didekati untuk berbincang dan bijak mencatur taktikal untuk memastikan kejayaan.

Tidak terlewat juga buat penulis mengucapkan tahniah, kepada Penaung Di Raja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) merangkap Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas kejayaan JDT memahat sejarah baru dalam bola sepak negara.

Kritikan Tunku Ismail terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini kadang-kala menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak, manakala pendekatan yang diambil ketika memulakan revolusi bola sepak di negeri Johor pada 2013 juga belum pernah dilakukan oleh persatuan bola sepak negeri lain sebelum ini.

Namun, hasil perancangan Tunku Ismail selaku Presiden PBNJ sebelum ini, JDT kini bukan saja dibarisi pemain tempatan dan import terbaik, tetapi satu-satunya pasukan Liga Malaysia yang mempunyai kemudahan pusat latihan dan stadium terbaik yang turut diperakui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Berlandaskan pengalaman penulis ketika beberapa kali bertemu Tunku Ismail sebelum ini, penulis melihat Tunku Ismail sebagai seorang pencinta bola sepak tulen dan fokus terhadap misi menjadikan JDT sebagai pasukan contoh kepada pasukan lain.

Penulis percaya, usaha pucuk pimpinan JDT tidak akan henti dengan kejayaan Piala AFC kerana difahamkan program pembangunan di peringkat akar umbi juga bakal diperkasakan selepas ini.

Jika dilihat pencapaian pasukan ini sejak 2013, penulis optimis JDT berupaya menjadi wakil pertama negara dalam saingan Liga Juara-Juara AFC dalam tempoh terdekat dan ia wajar menjadi sasaran utama Harimau Selatan selepas ini.

Penulis cuma berharap, akan adanya pasukan lain untuk melakukan revolusi sama seperti JDT yang akan hanya meningkatkan tahap persaingan kancah bola sepak tempatan.