Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta kemenangan 3 - 2 ke atas Song Lam Nghe An FC dalam perlawanan terakhir kumpulan H Piala AFC 2018 Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, tempoh hari tidak memberi kelebihan kepada JDT untuk meneruskan aksi di peringkat seterusnya apabila dibezakan dengan jumlah jaringan yang diperolehi oleh Song Lam di tempat ke 2 kumpulan H biarpun pungutan mata sama dengan JDT.

Dengan kegagalan JDT layak ke peringkat seterusnya mengundang sedikit rasa kecewa pengurusan dan penyokong JDT, tetapi ia pasti tidak akan melenturkan semangat pemain-pemain JDT untuk bangkit memberikan persembahan terbaik dalam memburu impian majikan mereka dalam usaha menjuarai Liga Super buat kali kelima berturut-turut. Ini dinyatakan sendiri oleh ketua jurulatih JDT, Raul Longhi, memandangkan pemain-pemainnya berada dalam kondisi yang baik serta moral yang tinggi.

Sudah pastilah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan mengunakan sebaik mungkin ruang jendela perpindahan ini untuk membawa masuk pemain-pemain berkualiti bagi mengisi ruang yang ditinggalkan Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa.

Namun, dari sudut mata dan pandangan penulis pula, sebenarnya kegagalan JDT untuk layak ke peringkat seterusnya adalah merupakan proses perubahan dalam penambahbaikkan dalam pasukan JDT untuk masa hadapan.

Kalau kita perhatikan, ramai pemain-pemain muda diberikan peranan untuk mengemudi JDT seperti Safawi Rasid dan Afiq Fadzail. Begitu juga dengan pemain-pemain yang kurang bermain di liga tempatan dan sudah tentulah ia memberi keuntungan kepada pemain untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin dan paling penting, mengumpul jumlah waktu bermain.

Walaupun ramai peminat-peminat tempatan yang begitu gembira dengan kegagalan pasukan JDT ini, namun mereka lupa bahawa hanya satu-satunya kelab dari Malaysia yang beraksi dalam Piala AFC 2018 dan mengangkat nama Malaysia, khususnya JDT dalam kalangan peminat yang berada dalam Kumpulan H itu sendiri, terutama peminat Persija Jakarta.

Lihat sahaja bagaimana penuhnya Stadium Bongkarno, Jakarta, ketika Persija Jakarta bertemu JDT dan sudah tentulah ia akan meningkatkan nilai komersial JDT.

Kepada pengurusan kelab-kelab di Malaysia dan peminat-peminat, belajarlah daripada pasukan JDT ini tentang bagaimana mereka meningkatkan nilai-nilai komersial kelab dan memberi keuntungan kepada pemain-pemain dalam membina pengalaman.

Apa yang dilakukan oleh JDT ketika ini merupakan perancangan untuk masa hadapan bukan menimbulkan rasa kebencian.