Apalah ertinya bola sepak ini tanpa penyokong?

Mana mungkin bola sepak diangkat sebagai sukan tersohor di muka bumi ini. Itulah mesej yang cuba disampaikan penyerang import Johor Darul Ta'zim (JDT), Gabriel Guerra.

Pemain import kelahiran Argentina itu melakar sejarah tersendiri dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila muncul pemain pertama yang meledak hatrik dalam Liga Perdana dan Liga Super dalam bulan dan musim yang sama.

Dalam perancangan asal musim ini, Guerra didaftarkan untuk JDT II, tetapi impiannya menjadi kenyataan gara-gara Jeremimo Barrales gagal menyesuaikan diri untuk membentuk rangkaian serangan yang digeruni di samping Gonzalo Cabrera.

Tidak sampai sebulan selepas sepak mula Liga M, Guerra dinaikkan pangkat manakala Barrales atau dikenali sebagai Apache Assassin ditukarkan ke JDT II melalui perjanjian 'feeder club' di antara Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dengan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang dimeterai tahun lalu.

Saya masih ingat luahannya ketika kali pertama bersua dengannya di Selayang pada 2015, "Saya datang dari kelab gergasi Argentina, Boca Juniors. Saya sudah terbiasa dengan keghairahan penyokong, jadi saya teringin untuk beraksi dalam sorakan gemuruh."

Sejak itu, beberapa pasukan mula mengintai khidmatnya, tetapi akhirnya lamaran JDT -- sebuah pasukan paling berjaya dalam Liga M dalam tempoh tiga tahun terakhir -- disambutnya.

Keputusan untuk membawanya ke Larkin adalah keputusan berbaloi buat Harimau Selatan.

Sepuluh gol dalam lapan perlawanan -- lima gol bersama JDT II dan lima gol dalam enam penampilan bersama skuad utama di Johor -- sudah cukup menggambarkan ketajaman Guerra.

"Inilah kali pertama saya bermain dalam sorakan padu penyokong sejak meninggalkan Boca Juniors.

"Sokongan yang diterima sama seperti di Boca Juniors!" tambah Guerra yang masih memiliki kontrak bersama kelab asalnya sehingga Jun 2018.

Info Guerra:

NAMA PENUH: GABRIEL MIGUEL GUERRA


PANGGILAN: GABBY


ASAL: FLORENCIO VARELA, ARGENTINA


UMUR: 24


POSISI: PENYERANG


KELAB TERDAHULU: BOCA JUNIORS B