Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah menerima perkenan ayahandanya, Sultan Johor, untuk bertanding merebut jawatan presiden FAM dalam kongres badan induk itu bulan depan.

Ini satu perkembangan yang baik dalam bola sepak negara memandangkan TMJ telah berjaya merubah minda pemain, peminat, pengurusan dan landskap bola sepak negeri Johor dan negara amnya.

Itulah yang diharapkan oleh peminat bola sepak tanah air untuk melihat perubahan yang akan dilakukan oleh TMJ setelah pemimpin-pemimpin terdahulu gagal dalam merealisasikan impian untuk mengangkat martabat bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun, Tunku Ismail mungkin perlu menghadapi cabaran daripada pesaing-pesaing dalam kalangan orang politik yang mempunyai pengikut mereka di dalam pengurusan persatuan-persatuan bola sepak negeri.

Ini realiti dalam bola sepak Malaysia di mana segelintir orang politik gemar mengunakan platform sukan untuk mencari populariti dan sudah pasti ada daripada mereka terikat dengan kepemimpinan dalam parti mereka.

Namun, penulis pasti kebijaksanaan TMJ dalam menyusun strategi bagi memastikan kemenangannya, apatah lagi dengan sokongan yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin.

Pemilihan kali ini juga akan menguji sejauh mana kebijaksanaan ahli-ahli gabungan untuk memilih siapakah yang bakal menerajui kepemimpinan FAM nanti berdasarkan misi dan visi.

Penulis mengharapkan tidak ada unsur-unsur kepartian dalam pemilihan presiden FAM kali ini tetapi pilihlah berdasarkan kredibiliti dan kreativiti yang ada pada seseorang pemimpin itu dan tidak ada unsur dendam peribadi.

Walaupun kita tahu ada unsur-unsur perbezaan pendapat atau pandangan dalam kalangan calon yang bertanding, namun kebijaksanaan serta kewarasan berfikir dituntut daripada ahli-ahli gabungan sekiranya mereka benar-benar cinta dan sayangkan bola sepak Malaysia.