Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-53 yang akan berlangsung pada Mac 2017 ini bukan sahaja menyaksikan perebutan jawatan presiden di kalangan individu-individu berpengaruh, tetapi jawatan naib presiden juga dilihat menjadi perebutan bagi beberapa muka baru dan penyandang jawatan.

Naib Presiden FAM, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin, dikhabarkan masih berminat untuk mempertahankan jawatan yang dipegang, biarpun jawatan presiden bakal diduduki individu baru.

Untuk pengetahuan, setiap calon hanya dibenarkan bertanding untuk satu jawatan sahaja dan nama mereka perlu diberikan kepada sekretariat FAM selewat-lewatnya pada 13 Februari sebelum pengumuman dibuat pada 20 Februari nanti.

Sumber daripada Utusan Malaysia juga menjangkakan bahawa terdapat tiga lagi individu yang dijangka akan meneyerahkan nama untuk bersaing merebut jawatan naib presiden.

Mereka yang dimaksudkan adalah Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk S Sivasundram, Pengerusi Liga Bolasepak Rakyat (LBR), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Astamam Abdul Aziz.

Persaingan sihat ini diharapkan mampu membawa aura positif kepada badan induk bola sepak negara yang kini berada di zaman kegelapan.

Dengan kongres akan berlangsung tidak lama lagi, FAM dilihat akan ‘bersalin kulit’ kerana dikhabarkan hampir 70 peratus muka baru akan diberi kepercayaan termasuk jawatan jurulatih kebangsaan.

Selain daripada itu, selepas selesai kongres nanti, pemain-pemain yang telah mengumumkan persaraan di arena antarabangsa dijangka akan membuat pusingan 'U'.

Adakah mereka akan kembali berganding semula dengan bekas jurulatih asing di selatan tanah air untuk membawa nama Malaysia? Tunggu dan lihat.