Kecoh pasal pusingan U, pasal Tan Cheng Hoe, kecoh pasal PPBN (NFDP) dan kecoh pasal pelantikan Mario Gomez serta macam-macam lagi.

Tapi dengan segala kekecohan pasal perkara-perkara inilah yang menarik penulis untuk menulis kali ini.

Kenapa perlu kecoh sedangkan kita ingin melihat perubahan yang dilakukan oleh badan induk bola sepak negara?

Biarkan mereka membuat keputusan mengikut perancangan yang dibuat dan hormatilah setiap keputusan individu itu.

Bagi penulis, kita perlu melihat ke hadapan dan bekerja untuk melaksanakan apa yang telah dirancang mengikut jadual perangkaan yang telah dibuat.

Kita sebagai pencinta atau peminat perlu memberi sokongan dan seiring bersama-sama pengurusan badan induk bola sepak negara untuk memartabatkan kembali bola sepak Malaysia.

Berbalik kepada Tan Cheng Hoe, penulis tahu memang sekarang agak menggusarkan peminat dan pengurusan Kedah sekiranya jurulatih Hijau Kuning itu dilantik pembantu kepada Gomez.

Apatah lagi, pasukan Kedah ketika ini berada pada tahap yang mantap baik dari segi konsistensi permainan atau pun bakat-bakat muda yang diketengahkan.

Malah, ada suara-suara sumbang mengatakan ia satu helah untuk mengendurkan cabaran Kedah terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan pelbagai penghormatan musim ini.

Bagi penulis, keputusan itu terletak di tangan Cheng Hoe sendiri sama ada beliau mahu menerima tawaran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau sebaliknya.

Namun, pada pandangan penulis, perkara ini sebenarnya boleh dibawa berbincang dan sekiranya kedua-dua pihak berfikiran kreatif, sudah tentu perbincangan dua hala boleh dilakukan melalui komunikasi dalam dunia alam maya kerana jarak bukan lagi satu halangan.

Yang penting, apa yang dimahukan oleh Gomez boleh difikirkan bersama oleh Cheng Hoe. Dalam masa yang sama, Cheng Hoe boleh fokus terhadap tugasan bersama pasukan Kedah memandangkan kalendar skuad kebangsaan bukan setiap minggu sebagaimana Liga Super.

Inilah solusi yang dapat membantu meredakan kerisauan peminat-peminat Kedah terutamanya.