Nafiizwan Adnan bersara dari dunia kompetitif skuasy.

Peluang baru terbuka dan Persatuan Skuasy Malaysia menanti jawapan Wan untuk menerima tawaran sebagai jurulatih lelaki negara.

Anak Terengganu berusia 33 tahun mengumumkan persaraannya selepas tunduk di aksi suku akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Diangkat sebagai pemain terbaik lelaki negara yang juga pernah berada di ranking 26 dunia, Wan mempunyai corak permainan yang pantas dan bijak serta tahap fizikal yang tinggi.

Kekebalan fizikal yang sukar dirobek membuatkan lawannya memberi dia gelaran ‘The Komodo’.

15 tahun mendedikasikan diri dalam sukan skuasy profesional, Wan seorang yang yakin dan berani mengambil cabaran untuk berpangkalan di luar negara termasuklah di Manchester.

Sikap ingin terus belajar, komited dan bekerja keras membolehkan Wan muncul juara Kejohanan Skuasy Individu Asia 2011 di Pulau Pinang dan lebih manis, mengalahkan idolanya, Ong Beng Hee di final.

Peminat Wan cukup gembira apabila dia muncul pemain lelaki skuasy Malaysia yang pertama rangkul pingat gangsa di Sukan Komanwel 2018, Gold Coast, Australia dan beberapa bulan selepas itu menang pingat emas berpasukan lelaki dan gangsa individu lelaki di Sukan Asia Jakarta, Indonesia.

Karier skuasy yang meliputi 200 kejohanan dan bermain 450 perlawanan, Wan akan sentiasa diingati sebagai antara pemain skuasy negara yang paling gemilang.

Dengan profil cemerlang sebagai pemain dan pengalaman pasti sebagai jurulatih nanti Wan dapat turunkan ilmu kepada pemain muda negara.

Namun bukan sahaja Malaysia menagih khidmat Wan tetapi India dan Amerika Syarikat juga berminat.

Jangan pergi jauh sangat Wan! Pantai Terengganu memang cantik dan di Malaysia makanan sedap-sedap dan orangnya semua baik.

Posisi jurulatih skuasy lelaki negara menanti anda.