Saya tertarik dengan artikel nukilan bekas pemain skuasy nombor 1 negara, Sharon Wee, tentang kehebatan ratu boling negara, Shalin Zulkifli.

Anda boleh rujuk artikel yang dimuat naik di laman web ini pada 23 Oktober 2019. Sememangnya diakui pada usia 41 tahun, Mak Cik Shalin (panggilan remaja buat beliau) masih mampu mempamerkan aksi terbilang meraih emas dalam Kejohanan Asia.

Di manakah pemain-pemain muda yang juga merupakan protege Shalin? Bukankah mereka pernah sama-sama menjulang emas dalam Kejohanan Dunia di Las Vegas pada 2017. Mereka juga meraih emas dalam Sukan Asia di Jakarta tahun lalu.

Dua kejayaan hebat itu diraih dengan penampilan Shalin sebagai ketua, mentor dan juga pencetus inspirasi.

Tidak dinafikan, azam Shalin masih lagi membara untuk mewakili negara dan dia juga masih lagi relevan untuk menyarung jersi Malaysia.

Tetapi sampai bila 'adik-adiknya' perlu bergantung kepada Shalin atau lebih mesra dengan panggilan 'mama' untuk mencetus inspirasi?

Kejohanan Dunia di Las Vegas tahun ini jadi bukti betapa Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasya Roslan, Sin Li Jane, Eshter Cheah, Natasha Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan juga Nerosha Keligit, terkapai-kapai tanpa Shalin Zulkifli.

Jangankan pentas final, bau peringkat separuh akhir pun sukar untuk dihidu, ibarat kapal terumbang-ambing tanpa nakhoda.

Dalam Kejohanan Boling Asia Ke-25 di Kuwait, Shalin menewaskan kesemua lima pemain negara dengan Syaidatul Afifah hanya menduduki tangga ke-12 manakala Eshter Cheah pula di kedudukan ke-21. Sampai bila kebergantungan kepada Shalin yang juga merupakan satu-satunya pemain wanita yang sudah berkeluarga?

Apakah boling perlu jadi seperti badminton? Terkapai-kapai tanpa Datuk Lee Chong Wei yang sering jadi penyelamat. Justeru, MTBC perlu mengatasi masalah ini demi mempertahankan skuad boling sebagai antara penyumbang utama pingat buat negara dalam Sukan Sea dan Sukan Asia.

Tak kan tak ada yang nak ganti Mak Cik?