Semua atlet yang meraih pingat di Sukan Olimpik akan menerima insentif kemenangan daripada Kerajaan Malaysia dan juga pencen mengikut warna pingat yang mereka bawa pulang buat Negara.

Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pemenang pingat emas Olimpik, menerima RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000, Perak pula RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000, manakala Gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan menerima wang tunai tambahan dari Kerajaan Negeri masing-masing dan ada pula dari penaja-penaja.

Mudah ke nak menang pingat di Olimpik?

Ini ditujukan kepada yang mempersoalkan dan membandingkan dengan kerjaya masing-masing serta seperti mengejek polisi kerajaan tentang isu ini.

Perjalanan seorang atlet yang akhirnya membawa kejayaan di Olimpik bukanlah satu perjalanan yang mudah. Ia begitu berliku liku. Membabitkan pengorbanan bukan sahaja atlet itu sendiri tetapi orang-orang yang terdekat terutamanya keluarga mereka sendiri.

Mereka bermula dari sekolah rendah lagi berjinak-jinak dengan sukan kegemaran masing-masing, seterusnya mewakili Sekolah mereka. Mereka harus menjadi antara yang terbaik untuk dipilih ke skuad Negeri. Menjadi antara yang terbaik untuk peringkat umur mereka sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Mereka harus bekerja keras dan terus berkorban masa, nikmat hidup sebagai remaja, berjauhan dengan keluarga untuk menjadi yang terbaik di peringkat umur di dalam negara sebelum terpilih mewakili negara di kejohanan antarbangsa peringkat umur.

Mereka juga harus cemerlang sentiasa, pagi petang menjalani latihan yang bukan saja memenatkan fizikal tetapi mental mereka. Ada yang tidak cemerlang dalam pelajaran oleh kerana ingin mengejar cita-cita dalam Sukan.

Bertahun-tahun lamanya mereka menjalani latihan dan juga menyertai kejohanan-kejohanan di dalam negara dan di luar negara. Pendapatan mereka bukan lumayan semasa mereka berusaha dari kecil sehinggalah apabila pengorbanan mereka mula menerbitkan bibit-bibit kejayaan.

Selepas menjadi antara terbaik di peringkat umur, mereka terus berusaha dan berkorban untuk menjadi yang terbaik di rantau Asia Tenggara, Asia, Komanwel seterusnya dunia, antaranya adalah Sukan Olimpik.

Bukan mudah untuk memenangi pingat di
olimpik. Selain daripada sukan bola sepak yang mengagungkan Piala Dunia mereka, sukan lain, Olimpik adalah temanya sukan yang tertinggi dan terbesar buat mereka.

Untuk layakkan ke Olimpik berbagai pungutan mata di perlukan dan kejohanan kelayakan yang harus ditempuh.

Akhir sekali di Sukan Olimpik atlet-atlet ini harus berjuang dengan atlet-atlet terbaik dunia untuk mendakap kejayaan yang telah mereka lakukan dalam acara sukan masing-masing.

Bagi Pandalela, beliau bermula dari umur tujuh tahun, mewakili Sarawak dan memenangi pingat perak bersama Cheong Jun Hoong usaha selama 16 tahun di mana beliau kini berumur 23 tahun.

Azizulhasni Awang berkampung di Melbourne dalam usaha memenangi pingat gangsa selepas Olimpik yang ketiga beliau, yang kini berusia 28 tahun, yang sekurang kurangnya berjinak dalam lumba basikal selama 16 tahun.

Belum lagi kita bercerita tentang pemenang-pemenang pingat yang lain yang berkorban segalanya seperti Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying serta Cheong Jun Hoong, pemenang-pemenang pingat sebelum ini seperti Razif, Jalaini, Rashid Sidek, Cheah Soon Kit, Yap Kim Hock. Saya pasti mereka ini dan keluarga telah berkorban terlalu banyak seperti masa, keringat, wang ringgit dan sebagainya untuk berada di situasi sekarang.

Pendapat peribadi saya, mereka ini adalah Wira-Wira negara dan mereka sememangnya layak menerima segala yang di peruntukkan buat pemenang-pemenang pingat di Sukan Olimpik. Sukan Olimpik Rio adalah pencapaian terbaik sejak Malaysia menyertai Sukan Olimpik pada 1956.

Harapan agar Tokyo 2020 akan lebih berjaya.

Akhir kata, jangan ada lagi yang mempersoalkan tentang "habuan" yang akan mereka terima. Sanjunglah mereka sebagai wira-wira negara.