Belgium atau Sepanyol? Misi Malaysia di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Wanita hanya mencari satu peluang kemenangan membabitkan Belgium atau Sepanyol.

Jika diukur kepada ranking dunia hanya kedua pasukan ini miliki kedudukan paling hampir iaitu di ranking ke-14 dan 10 ketika Malaysia tercorot di tangga ke-22.

Masih melabelkan ia sebagai misi sukar namun mengenali ketua jurulatih wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, dia bukan individu yang senang akur kepada keadaan.

"Sasaran kita nak curi satu kemenangan antara Belgium atau Sepanyol saja. Lain pasukan seperti Australia dan New Zealand mereka dah ada di tahap yang jauh berbeza dari kita," itu reaksi Dhaarma kali pertama diajukan soalan sejauh mana peluang Malaysia di Brussels, Belgium nanti.

Bukan bermakna Malaysia menyerah bulat-bulat dengan kehebatan Australia dan New Zealand nanti, semangat melawan tetap ada namun jika keputusan memihak kepada Malaysia ia ibarat keajaiban sedang berlaku.

Merujuk kepada prestasi skuad lelaki di London yang juga merebut tempat ke Piala Dunia, Dhaarma menegaskan, apa yang berlaku kepada skuad Stephen Van Huzen dalam dua perlawanan awal juga mampu berlaku kepada skuad wanita.

"Saya tak tidak kalau kita kena belasah dalam aksi dengan dua pasukan gergasi (Australia dan New Zealand) tapi saya bagi jaminan ia ibarat aksi pemanas badan untuk anak buah saya berhadapan dengan sasaran sebenar iaitu Belgium dan Sepanyol," kata Dhaarma.

Ini merupakan kali pertama skuad wanita berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir liga hoki dunia, yang hanya menuntut satu sahaja kemenangan bagi mengisi slot ke Piala dunia di London tahun hadapan.

Malaysia bakal berhadapan ujian pertama menentang Australia yang menduduki ranking ke 4 dunia, pada Rabu.