Jangan lepas tangan biarkan bola sepak Perak berkubur

Fadzrie Hazis
Mei 12, 2021 05:03 MYT
Perkembangan mengenai situasi kewangan meruncing Perak FC menyaksikan penghijrahan beberapa tonggak utama pasukan itu ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) jelas menimbulkan kerisauan terhadap masa depan skuad Bos Gaurus itu.
Bagi penulis, dari awal musim ini sudah kelihatan seakan pengurusan Perak FC mengalami masalah dana kewangan apabila bekas ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, mengambil keputusan meninggalkan pasukan hanya beberapa hari sebelum saingan Liga Super bermula.
Biarpun Mehmet ketika sidang media mengumumkan penamatan kontraknya mengatakan keputusan itu diambil kerana faktor keluarga, terdapat banyak desas-desus yang mengatakan bekas pertahanan Australia itu meleraikan ikatan dengan Perak FC atas masalah kewangan pasukan.
Jika kerajaan negeri tidak lagi mampu memberi peruntukan kewangan seperti musim-musim terdahulu, pucuk pimpinan Perak FC patut dari awal sudah merangka perancangan sebelum saingan musim ini bermula.
Mungkin mereka wajar mencontohi pendekatan PJ City musim ini, yang hanya menyandarkan kepercayaan terhadap kudrat pemain tempatan dan ia memang menjimatkan kos kewangan pasukan.
Memang ia akan memberi kesukaran buat Perak memberi cabaran kuat tanpa kelibat awang import, tetapi ia tidak bererti pasukan tanpa import tidak boleh bersaing dan PJ City sudah membuktikannya musim ini.
Situasi Perak jelas lebih parah apabila tampak berlaku keretakan hubungan di antara pengurusan Perak FC dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dengan masing-masing seakan mengambil sikap lepas tangan.
Tindakan Rizal Ali Naizali melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC jelas lebih merumitkan keadaan kerana kelab itu kini ibarat kapal yang tiada nakhoda.
Suka atau tidak, PAFA harus duduk semeja dengan kerajaan negeri bagi mencari pendekatan terbaik membantu Perak FC daripada terus diselubungi masalah kewangan.

Welcome to the Home of Champions! ?? #ShahrulSaad #GuilhermeDePaula #LuaskanKuasamuJohor #JDTFamily

Posted by JOHOR Southern Tigers on Friday, May 7, 2021
Memang kini setiap pasukan sudah diswastakan dan sepatutnya, pengurusan Perak FC merangka dengan bijak struktur kewangan mereka lebih awal, belanja mengikut kemampuan saja tanpa berharap bantuan kerajaan negeri.
Tetapi hakikatnya, pihak pengurusan Perak FC gagal!!
Jika tiada pihak tampil bantu menyelamatkan Perak FC, tidak mustahil situasi yang melanda Perlis pada 2019, berlaku kepada skuad Bos Gaurus dan jika ia berlaku ia amat menyedihkan bagi sebuah pasukan yang mempunyai sejarah kejayaan dalam kancah Liga M.
Sejak musim 1990 di era Semi-Pro, Perak adalah satu-satunya pasukan yang tidak pernah tersingkir daripada kelompok elit Liga M tetapi kini, mereka berkemungkinan terpaksa menarik diri di pertengahan musim jika keadaan kewangan terus meruncing.
Jika itu berlaku, Perak FC mungkin terpaksa beraksi di saingan M3 musim depan dan sukar membayangkan bagaimana sebuah pasukan yang hanya pada musim 2018 muncul juara Piala Malaysia jatuh sampai ke saingan amatur.
Apa yang berlaku di Perak, jelas membuktikan sesetengah pasukan seakan tidak bersedia sepenuhya untuk diswastakan dan gagal memastikan struktur kewangan yang kukuh tanpa bergantung kepada dana kerajaan negeri.
Shahrul Saad, Guilherme De Paula, Kenny Pallraj serta J Partiban kini sudah meninggalkan pasukan dan penulis menjangkakan beberapa lagi tonggak utama Perak bakal angkat kaki.
Pemain berhak memikirkan masa depan mereka kerana mereka juga mempunyai tanggungan dan komitmen. Nak harap jiwa je main tanpa gaji tak boleh Yob.
Ketika bergelar wartawan, penulis kerap juga membuat liputan skuad Perak dari zaman Khalid Jamlus, V Saravanan hingga ke era pemain seperti Shahrul dan Kenny.
Perak adalah pasukan yang kerap juga menghasilkan pemain berkualiti buat Harimau Malaya dan jika pasukan ini berkubur, ia bukan satu gambaran positif buat bola sepak negara secara amnya.
Semoga ada sinar di hujung terowong yang gelap ini buat Perak FC.