Bergegar arena sukan negara apabila jaguh angkat berat, Mohd Hafifi Mansor, dikesan positif doping jenis oxymetholone, sejenis ejen steroid.

Banyak persoalan bagaimana bahan itu boleh terkandung dalam air kencing Hafifi apabila diuji ketika menyertai Kejohanan Terbuka Australia, Mac lalu.

Adakah Hafifi mengambil bahan terlarang?

Adakah dia jadi mangsa sabotaj?

Adakah dia lalai?

Mengapa ambil masa tujuh bulan untuk keluarkan keputusan?

Ketika Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menjalankan siasatan, Hafifi menafikan ada mengambil bahan terlarang dan secara rasional, tiada sebab untuk dia mengambilnya.

Dia pemegang rekod kebangsaan, bersiap-sedia menghadapi Kejohanan Dunia, bulan depan dan harapan terbaik mempertahankan emas Sukan Komanwel 2018!

Kebiasaannya, atlit positif doping tidak akan ingat bagaimana bahan itu boleh terkandung dalam air kencing mereka.

Pegawai sukan yang baik perlu menjalankan siasatan terperinci - bagaimana dengan rutin harian mereka.

Cuba luangkan masa beberapa hari pada sesi latihan skuad negara di Gimnasium Angkat Berat, Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.

Lihat apa yang mereka minum atau makan.

Adakah mereka berkongsi minuman? Adakah mereka mencampurkan protein yang dibekalkan Institut Sukan Negara (ISN)?

Berdasarkan rekod, beberapa atlit angkat berat kategori Hafifi (69kg) terlebih dulu positif doping dan mungkin ada kesilapan berlaku kerana mereka menjalani latihan bersama.

Amalan di Malaysia, kita boleh berkongsi air minuman sama ada di kantin sekolah, keluar bersama rakan atau selepas menyertai aktiviti riadah setiap petang.

Adakah kita tahu apa yang terkandung dalam botol minuman rakan?

Sebagai atlit, perkara ini amat sensitif.

Perhatikan juga bilik tidur atlit.

Di mana mereka letak botol protein? Adakah di tempat yang selamat? Mampukah seseorang membuka botol itu, menghancurkan pil dan mencampurkannya ke dalam botol protein atlit?

Ini semua kebarangkalian yang boleh berlaku. Ingat, pelaburan untuk membentuk Hafifi Mansor hingga layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 bukan murah.

Dia kapten angkat berat negara, dia harapan terbaik emas Sukan Komanwel namun hari ini, berdepan cabaran paling sukar.

Kepada Kementerian Belia dan Sukan, jika Chong Wei boleh diberi peguam, mengapa tidak Hafifi dan penerjun negara yang sedang berjuang menyelamatkan karier ekoran doping?

Bantulah mereka seperti mana mereka mengerah kudrat menggembirakan rakyat Malaysia dan menaikkan nama banyak pihak sebelum hidup mereka berada pada kitaran paling bawah ketika ini.

Kredit imej: AFP