Kebelakangan ini, banyak saja laporan media arus perdana mahupun media sosial yang melaporkan pengendali Selangor, B. Satianathan, menjadi mangsa cacian dan makian segelintir peminat The Red Giants.

Lebih menyedihkan, bekas pengendali kebangsaan itu juga terkena cacian yang berbaur perkauman sama ada di stadium selepas perlawanan, mahupun menerusi komen di laman sosial.

Terbaru, Satianathan dilaporkan turut terkena cacian berbaur perkauman selepas kekalahan 2-3 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi Liga Super di Larkin Rabu lalu.

Secara peribadi, penulis amat kesal dengan tindakan segelintir peminat Selangor yang melemparkan kata-kata berbaur perkauman ini.

Badan bola sepak Eropah, UEFA, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan badan dunia FIFA semuanya memandang serius ejekan peminat yang berbaur perkauman.

Mungkin sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak tegas dalam hal ini dalam kancah Liga Malaysia.

Namun sebelum FAM mengambil tindakan tegas, penulis berharap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan juga cuba mengambil langkah proaktif mendekati peminat mereka dan memulakan kempen kesedaran menangani ejekan, cacian yang berbaur perkauman.

Bagi penulis, tiada jurulatih mahupun pemain berhak menerima cacian berbaur perkauman.

Selaku anak jati Selangor juga, penulis kesal terdapatnya segelintir peminat yang sanggup melemparkan cacian sedemikian rupa kepada Satianathan.

Mungkin segelintir peminat Selangor tersebut lupa atau tidak tahu, terdapat ramai bekas pemain legenda Selangor juga berketurunan India sebelum ini.

Mendiang R.Arumugam dan Datuk M. Chandran adalah antara legenda Selangor berketurunan India yang pernah mengerah kudrat buat pasukan itu di era 70an.

Penyokong yang mempunyai sentimen perkauman sebenarnya tiada tempat dalam bola sepak.

Isu cacian berbaur perkauman yang dilalui oleh Satianathan sebenarnya tidak wajar berlaku dalam kancah bola sepak negara kita yang berbilang kaum.

Bagi penulis, peminat yang mempunyai sentimen perkauman adalah ibarat peminat kelas bawahan.

Jika sesebuah pasukan mahu menerapkan mentaliti juara, penyokong mereka juga perlu matang dan mempunyai mentaliti juara.

Suka atau tidak, contoh terbaik pasukan yang memastikan penyokong mereka tidak melemparkan cacian berbaur perkauman adalah JDT.

Penyokong JDT turut bersikap matang, apabila menghargai pemain-pemain lawan yang pernah mengerah kudrat bersama pasukan mereka sebelum ini.

Penulis berharap segelintir peminat Selangor yang gemar melakukan cacian berbaur perkauman mampu muhasabah diri.

Selangor musim ini tidak mempunyai peruntukan kewangan yang besar seperti beberapa pasukan lain.

Selaku penyokong kadang-kala kesabaran dan kesetiaan itu penting kerana, takkan kita hanya berada di samping pasukan ketika mereka menang?

Jika tidak puas hati dengan persembahan pasukan, tunggu sehingga akhir musim dan jika pasukan gagal, buat satu memorandum dan serahkan kepada pucuk pimpinan FAS selepas musim berakhir.

Buat masa ini, pasukan masih berjuang dan pemain serta jurulatih amat tidak memerlukan cacian melampau, apatah lagi yang berbaur perkauman.

Apa pun, penulis percaya sebahagian penyong setia Selangor mampu berfikir secara matang dan faham mesej yang ingin disampaikan penulis kali ini.