Mat Zan Mat Aris menganggap terlerainya ikatannya selaku jurulatih Melaka United Football Club (MUFC) sebagai sesuatu yang sudah berlalu dan tidak perlu diungkit lagi.

Membawa rajuk hatinya untuk membimbing pasukan AirAsia FC dalam Liga FAM 2017 – sambil Melaka akan bersaing dalam Liga Super buat julung kalinya – jurulatih itu akur tiada rezekinya untuk terus melatih Melaka, pasukan yang dikendalikannya menjuarai Liga FAM pada 2015 dan Liga Perdana 2016.

“Saya berterima kasih kepada AirAsia FC yang menawarkan saya peluang dalam Liga FAM 2017.

“Berkenaan dengan Melaka, saya anggap ia sudah berlalu. Saya bersyukur dengan kejayaan kami menjuarai Liga Perdana musim 2016 dan layak ke Liga Super 2017.

“Saya anggap tiada rezeki saya untuk meneruskan khidmat bersama mereka walaupun saya ada berharap untuk diberi peluang membimbing Melaka dalam Liga Super 2017,” katanya kepada Stadiumastro.

“Mungkin peranan saya kecil saja ketika membimbing Melaka menjuarai Liga FAM 2015 dan Liga Perdana 2016, kerana itu khidmat saya tidak diperlukan lagi.

“Namun, sebagai seorang profesional, saya menerima keputusan MUFC untuk mendapatkan jurulatih lain walaupun saya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi.

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada mereka dengan perancangan baru mereka,” tambahnya.

Semalam, pengurus Melaka United, Datuk Seri Yusoff Mahadi, menafikan pihaknya memandang rendah terhadap kemampuan Matzan hingga mendorong keputusan untuk tidak melanjutkan khidmat jurulatih itu.

Sebaliknya, katanya, perubahan tersebut dilakukan atas dasar untuk memantapkan skuad Hang Tuah bagi menghadapi badai Liga Super 2017.

MUFC, menurutnya, telah mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat jurulatih luar dan kini tiga calon dari Brazil, Australia dan England sudah ada dalam senarai untuk dinilai bagi mengendalikan Melaka United.

Sebelum ini, netizen mempersoalkan tindakan MUFC yang didakwa tidak profesional kerana tidak memaklumkan keputusan secara rasmi kepada Mat Zan bahawa khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Mat Zan sebelum ini menyatakan dia terpaksa membuat andaian sendiri bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan kerana MUFC tidak memaklumkan apa-apa kepadanya.

Berikutan itu, netizen tidak berselindung dengan rasa tidak puas hati terhadap MUFC dengan menggelar pengurusan skuad Hijau Putih itu “tidak mengenang budi”, “kacang lupakan kulit”, "habis manis sepah dibuang".

Tidak kurang juga yang mengharapkan Melaka mendapat balasan setimpal kerana bersikap tidak mengenang budi, dengan ramai mengandaikan Melaka akan kembali diturunkan ke Liga Perdana selepas hanya semusim dalam Liga Super.

Mat Zan, bagaimanapun, memilih untuk berhati besar.

“Saya menghargai keprihatinan dan simpati peminat bola sepak Melaka terhadap saya. Tapi cukup-cukuplah mengharapkan perkara yang tidak baik dengan MUFC.

“Pengalaman dan kesempatan saya bersama Melaka amat-amat saya hargai dan saya harap dapat memperkayakan saya dengan pengetahuan untuk terus menabur bakti dalam Liga Malaysia, sekalipun dengan pasukan berbeza,” katanya.