Usah risau, usah bimbang, tajuk artikel kali ini tiada kaitan dengan ballad popular era 90-an mahupun ada kena mengena dengan hati yang diguris oleh kekasih.

Sebaliknya, ungkapan "selamat tinggal" kali ini berkait rapat dengan perginya legenda Jerman, Bastian Schweinsteiger, yang telah diumumkan berhijrah ke Chicago Fire dari kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Baru-baru ini, salah satu topik yang agak kecoh di laman media sosial adalah tentang perginya seorang wira Piala Dunia seperti Schweinsteiger ke Liga Amerika Syarikat tanpa sebarang ucapan selamat tinggal.

Ramai yang melontarkan persoalan -- kenapa sampai jadi begini? Ada masalah besarkah di antara si pemain dan pihak pengurusan?

Bukannya apa, kita tahu sepanjang waktu Schweinsteiger bergelar pemain Red Devils, dia sentiasa menunjukkan betapa bangganya dia menyarung jersi Manchester United -- biarpun tidak diberi banyak peluang untuk beraksi di bawah 'pemerintahan' Jose Mourinho.

Adakah ini mencetuskan sebarang dendam pada diri pemain ini? Mungkinkah sebab itu dia langsung tidak mengucapkan selamat tinggal secara rasmi di hadapan penyokong? Ataupun adakah disebabkan ada masalah di antara dia dan pihak pengurusan hinggakan tiada platform rasmi disediakan untuk salam terakhir Schweinsteiger sebagai pemain United?

Scweinsteiger, yang memang dikenali sebagai 'gentleman' yang tidak akan memburukkan majikan ataupun pasukan, sekali lagi menunjukkan nilai ini masih tertanam pada dirinya.

Dia pantas menjawab bukan salah pihak pengurusan dan bukan pilihannya sendiri atas dasar dendam untuk tidak mengucapkan selamat tinggal kepada para peminat, sebaliknya dia berasakan bahawa lebih baik jika perhatian dan fokus ditumpukan kepada perlawanan Manchester United di tempat lawan berhadapan Middlesbrough baru-baru ini.

Perasaan hormat dan sayang Schweinsteiger terhadap Manchester United disokong lagi dengan kenyataan dia meluahkan kegembiraan apabila Manchester United mencatatkan kemenangan ke atas Middlesbrough.

Bukan mudah untuk kita jumpa bintang besar yang begitu 'down to earth' sebegini tapi Bastian Schweinsteiger nyata sekali salah seorang daripada kumpulan unik ini.

Adakah dia akan berjaya di Amerika Syarikat? Mudah-mudahan ya, sebab dalam dunia yang ideal, orang yang baik berhak kepada perkara-perkara yang baik juga.