Takziah diucapkan kepada Datuk Ong Kim Swee yang baru sahaja kehilangan bapanya, Ong Chwee Gua, yang menyaksikan Datuk OKS terpaksa pulang lebih awal ke tanah air daripada menjalani kursus sebulan bersama Queens Park Rangers (QPR) di England.

Biarpun bersedih kerana kehilangan sumber inspirasi, Datuk OKS tetap menjalankan kewajipan seperti biasa apabila menyenaraikan 23 pemain untuk perlawanan menentang Korea Utara pada 28 Mac dalam aksi sulung pusingan Kelayakan Piala Asia 2019.

Dikhabarkan venue pertandingan masih belum ditetapkan, ditambah pula kemungkinan Harimau Malaysia akan menarik diri jika perlawanan tetap berlangsung di PyongYang, skuad negara akan tetap menjalani latihan seperti biasa sehingga 20 Mac sebagai persiapan perlawanan persahabatan bertemu Filipina di Manila.

Untuk persiapan terkini skuad negara, Datuk OKS dilihat hanya memanggil lima muka baru iaitu Farizal Harun, Afif Amiruddin, Nasir Basharuddin, Akram Mahinan dan Khair Jefri Jones dan selebihnya masih pemain yang sama ketika aksi Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Lima pemain yang tidak berjaya merebut tempat pula terdiri daripada Khairul Fahmi, Irfan Fazail, Fakri Saarani, Darren Lok dan Norshahrul Idlan Talaha.

Jika dilihat senarai pemain yang ada, tidak banyak perubahan mahupun perbezaan ketara yang mampu disajikan oleh pemain di atas padang. Dengan tempoh masa lebih kurang dua minggu menjalani latihan bersama, harapan penulis hanyalah mahu melihat skuad Malaysia sekurang-kurangnya tidak tewas ataupun tidak tewas teruk ketika bertemu Filipina dan Korea Utara nanti.

Bukan menidakkan kemampuan skuad negara, namun jika persembahan terakhir menjadi ukuran, sukar untuk pasukan negara mencipta kemenangan.

Dengan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga akan berlangsung pada Mac ini, ada ura-ura bahawa jawatan kerusi panas ketua jurulatih negara akan bertukar tangan.

Penulis mengharapkan segalanya akan baik-baik sahaja buat Datuk OKS. Realitinya, jika benar sekalipun akan ada pertukaran jurulatih skuad negara nanti, selagi ianya belum berlaku, Datuk OKS perlu menjalankan tanggungjawab seperti biasa.