Malaysia menamatkan cabaran Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 di tempat ketiga terbaik keseluruhan dengan 18 pingat emas, 25 perak dan 34 gangsa dengan tuan rumah, Indonesia, muncul juara.

Ia prestasi kedua terburuk dalam sejarah ASG selepas meraih enam emas dalam temasya di Thailand pada 2016.

Pengalaman ASG penting bagi majoriti atlet negara kerana ini kali pertama mereka mewakili negara.

Perasaan membuak-buak untuk mewakili negara menewaskan lawan dan membawa pulang pingat untuk Malaysia.

Atlet berusia bawah 18 tahun ini masih terlalu hijau.

Jadi, apa yang mereka lalui dalam ASG akan mempengaruhi perjalanan mereka bergelar atlet senior kebangsaan.

Cuma, saya mahu ingatkan sesetengah pegawai bahawa jangan biasakan mereka dengan wang.

Pada peringkat ini, biar unsur wang itu tidak wujud dalam kontinjen negara.

Walaupun ada yang sudah bergelar atlet remaja kebangsaan yang sudah dibiasakan dengan ganjaran apabila berjaya tetapi majoriti di Semarang umpama kain putih yang perlu dicorakkan dengan betul.

Silap langkah, mereka akan membesar menjadi atlet mata duitan.

Setiap kejayaan pasti ada ganjaran dan mereka akan tuntut dengan pegawai persatuan, Majlis Sukan Negara atau Kementerian Belia dan Sukan.

Itu sesuatu yang perlu dielakkan.

Benar wang itu penting tetapi mentaliti itu tidak sesuai dibaja pada usia ini.

Saya melihat banyak perkara baik berlaku di Semarang. Diharap atlet ini diasuh dengan cara yang betul demi sukan negara.