Andai waktu boleh diputar ke belakang, James Rodriguez harus memilih untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih awal lagi. Dan tidaklah dia membazirkan masa atau perlu menelan kepahitan sepanjang bersama Real Madrid.

Kemunculan sulungnya bersama Everton ketika menundukkan Tottenham Hotspur 1-0 di London kelmarin jelas menerapkan semangat baru buatnya setelah dia disatukan semula dengan pengurus, Carlo Ancelotti, buat kali ketiga.

Apa yang lebih menggembirakan James ialah dia telah memperoleh sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh Zinedine Zidane di Real Madrid -- kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap persembahan dan sumbangannya kepada pasukan.

Pemain berusia 29 tahun itu yang diberikan peranan di sayap kanan, melakukan hantaran-hantaran jitu dan sentiasa bersedia apabila dia memperoleh bola hingga diberikan ‘rating’ 8 di sebalik sudah agak lama tidak beraksi.

Menyimpulkan prestasinya sepanjang perlawanan itu, akhbar harian sukan Sepanyol, Marca, menganggap James telah memperoleh semula keyakinannya untuk menerapkan harapan baru dalam kalangan penyokong The Toffees.



“Kepada bola sepak Inggeris, nikmatilah kehebatan James Rodriguez,” kata Marca lagi yang mengikuti rapat perkembangan pemain itu sewaktu tempoh suram di Santiago Bernabeu, dipinjamkan dua musim di Bayern Munich dan kini ke kancah EPL.

Sewaktu berdepan Spurs, penyerang antarabangsa Colombia itu kekal di padang sehingga waktu kecederaan separuh masa kedua dan mengagumkan ramai dalam penampilan sulungnya biarpun dia jarang sekali dapat beraksi untuk Real Madrid dalam tempoh setahun sebelum menyertai Everton.

Apa yang menjadikan salam perkenalannya dengan bola sepak Inggeris lebih bermakna ialah kemenangan 1-0 untuk pasukan Ancelotti itu adalah kali pertama Everton meraih kejayaan di tempat lawan menentang pasukan enam teratas dalam 40 percubaan.

Sebaliknya, buat pengurus kelab tuan rumah, Jose Mourinho pula, ini adalah kali pertama dia tewas dalam perlawanan hari pembukaan musim sepanjang kerjayanya sebagai pengurus Liga Perdana.

Ancelotti harus mampu tersenyum lebar kerana ketiga-tiga pemain pembelian baru Everton – Allan, Abdoulaye Doucoure dan James – telah memberikan persembahan jauh lebih baik daripada kesebelasan pemain Mourinho bermula dari minit pertama sehinggalah ke minit terakhir.

Formasi 4-3-3 The Toffees dengan James di sayap kanan manakala Allan dan Doucure bergabung dengan Andre Gomes di bahagian tengah, ternyata menenggelami dua pemain pembelian baru Spurs, Matt Doherty dan Emile Hojbjerg, yang beraksi hambar.



Ketika diperkenalkan secara rasmi dalam jersi Everton, Khamis lalu, James menjelaskan bahawa peluang untuk bermain di bawah tunjuk ajar Ancelotti buat kali ketiga adalah satu faktor penentu buat dirinya.

Jurulatih warganegara Itali itu pernah melatih James sewaktu di Real Madrid dan Bayern Munich, dan bintang Colombia itu pula pastinya berharap akan dapat memperoleh semula rentak terbaiknya di Goodison Park.

“Saya mempunyai seorang jurulatih yang amat mengenali saya dan saya juga sangat mengenali dia, jadi semuanya positif.

“Saya sentiasa ingin mengecapi lebih banyak kejayaan. (Bekerja dengan Ancelotti) telah banyak mempengaruhi keputusan saya. Kami menikmati satu musim yang hebat pada tahun 2014 dan musim itu juga merupakan satu musim yang baik untuk saya secara peribadi. Kami mempunyai hubungan yang akrab sebagai jurulatih dan pemain.

“Di Everton, terdapat ramai orang yang berfikiran serius di semua tahap. Kesemuanya bertekad untuk memperoleh kejayaan dan itu pastinya akan membolehkan kami memenangi trofi.

“Ia tidak akan berlaku dalam tempoh yang singkat, namun ia adalah satu rancangan jangka panjang. Saya telah melihat tanda-tanda positif yang kami mampu berkembang maju.”
Kehilangan buat Zidane mungkin kini satu keuntungan buat Ancelotti.