Perpindahan pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Mohd Haiqal Hanafi ke Bukit Jalil bakal mencetuskan permainan emosi.

Mereka sudah berguru dengan Mohd Poad Kassim sejak tujuh tahun lalu hingga muncul Lelaki Terpantas Asia Tenggara.

Malah, Khairul masih memegang rekod 100m kebangsaan, 10.18 saat dilakukan pada 2016.

Hubungan mereka umpama bapa-anak dimana saya melihat sendiri didikan rohani dan jasmani daripada Poad.

Semua atlitnya perlu bangun sebelum solat Subuh, berjemaah dan turun berlatih.

Mereka juga perlu menjaga aurat sepanjang sesi latihan, dilarang melihat telefon bimbit dan minum mengikut sunnah.

Begitu teliti Poad mengasuh anak didiknya.

Tidak hairanlah, Khairul dan Haiqal menyayangi Poad lebih daripada seorang jurulatih.

"Saya sedia lepaskan mereka. Saya tahu situasi ini akan berlaku, terasa masa cepat berlalu. Saya harap mereka jaga diri dan berkembang sebagai atlit yang matang, jauh lebih hebat daripada sekarang," kata Poad.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang merangka program peralihan dimana KOM akan berbincang dengan Poad dan Pengarah Teknikal, Dwayne Miller mengenai tarikh sesuai perpindahan ini akan berlaku.

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.